Home Nasional Pekerja gagal imbas MySejahtera, dua restoran dikompaun

Pekerja gagal imbas MySejahtera, dua restoran dikompaun

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai memberi surat kompoun kepada pemilik kedai ketika membuat tinjauan SOP PKP 3.0 di pusat beli belah Publika, Kuala Lumpur . Foto HAFIZ SOHAIMI, 10 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Kegagalan beberapa orang pekerja mengimbas kod MySejahtera mengakibatkan dua premis makanan di sebuah pusat beli-belah di Solaris Dutamas di sini dikenakan tindakan kompaun.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kedua-dua buah restoran itu masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM10,000.

“Sekarang memang tidak boleh dine-in jadi tak nampak pelanggan yang datang disebabkan itu kita buat pemeriksaan ke atas pekerja-pekerja premis.

“Di sebuah restoran makanan Thailand tadi ada dua tiga orang pekerja yang tidak imbas MySejahtera atau mencatat maklumat diri di buku yang disediakan.

“Disebabkan berlaku kesalahan kita keluarkan kompaun terhadap majikan atas kegagalan pekerja mendaftar masuk ke premis sebanyak RM10,000,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjalankan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah premis hari ini.

Operasi secara bersepadu itu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kepong dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selama dua hari membabitkan 19 lokasi hot spot di kawasan Sentul, Jinjang dan Kepong.

Mengulas lanjut Eng Lai berkata, pemeriksaan di sebuah lagi restoran mendapati premis terbabit menggaji tujuh pekerja warga asing berusia lingkungan 23 hingga 28 tahun yang melanggar syarat permit kerja.

Pekerja di salah sebuah restoran ditahan kerana tidak memiliki permit kerja yang sah ketika tinjauan SOP PKP 3.0 di pusat beli belah Publika, Kuala Lumpur . Foto HAFIZ SOHAIMI, 10 MEI 2021.

“Tujuh pekerja warga asing didapati melanggar syarat Imigresen kerana mereka ini sepatutnya bekerja sebagai tukang cuci di Chow Kit tetapi digunakan sebagai tukang masak di restoran ini dan ia nya merupakan satu kesalahan.

“Semua yang ditahan akan dibawa ke IPD manakala majikan pula bakal dikenakan tindakan kerana memberi perlindungan kepada pekerja yang tidak mempunyai permit selain kompaun berjumlah RM10,000 kerana kegagalan pekerjanya mengimbas kod MySejahtera di premis tempat mereka bekerja,” ujarnya.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja satu atau lebih orang selain daripada warganegara atau pemegang permit masuk yang tidak memiliki pas sah.

Dalam pada itu, Eng Lai turut mengingatkan pemilik premis supaya dapat memastikan kesemua pekerja mendaftar masuk dengan menulis butiran nama dan nombor telefon atau mengimbas kod MySejahtera masing-masing.

Jelas beliau lagi, pekerja yang didapati tidak sihat atau mempunyai simptom perlu disaring sebelum memulakan kerja bagi mengelak sebarang implikasi yang lebih besar sekiranya ada individu yang terkena jangkita Covid-19. – MalaysiaGazette