Home Nasional Wakil guaman 1MDB, SRC fail 22 tuntutan sivil

Wakil guaman 1MDB, SRC fail 22 tuntutan sivil

1MDB

KUALA LUMPUR – Wakil guaman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) memfailkan sejumlah 22 tuntutan sivil pada Jumaat lalu.

Kementerian Kewangan yang mengesahkan perkara itu berkata, enam daripada writ saman difailkan oleh 1MDB dan 16 lagi oleh SRC untuk pemulangan aset dengan jumlah keseluruhan melebihi RM96.6 bilion (US$23 bilion), termasuk kira-kira RM300
juta tuntutan terhadap pelbagai pihak tempatan.

Writ yang difailkan oleh 1MDB ini adalah terhadap sembilan entiti (termasuk dua institusi kewangan asing) dan 25 individu atas pelbagai kesalahan termasuk pelanggaran kewajipan kontrak, statutori, common law dan fidusiari dan pecah amanah.

Ia turut melibatkan frod iaitu konspirasi frod, salah nyata frod, pecah kewajipan dan amanah secara frod, penyembunyian secara frod, penyelewengan secara frod, bantuan tidak jujur dalam penyelewengan dana selain kecuaian iaitu penerimaan dengan pengetahuan (knowing receipt) dan pengkayaan tidak wajar (unjust enrichment).

“Writ yang difailkan oleh SRC adalah terhadap 15 individu dan 8 entiti atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan kuasa, pelanggaran kewajipan fidusiari di jawatan awam, pecah amanah, konspirasi, bantuan tidak jujur, pelanggaran kewajipan secara frod; penerimaan dengan pengetahuan, salahlaku dan penukaran salah (wrongful conversion),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, 1MDB dan SRC menyatakan bahawa entiti-entiti dan/atau individu-individu ini telah mendapatkan pengkayaan tidak wajar melalui penerimaan wang secara salah dari 1MDB atau SRC.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, berikutan kejayaan penyelesaian yang signifikan terhadap Goldman Sachs, AmBank Group dan Deloitte PLT, usaha Kerajaan kini difokuskan untuk membawa ke muka pengadilan pesalahlaku lain yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan/atau SRC semasa pelaksanaan tugas mereka, sebagai pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung
dalam pelbagai operasi dan urus niaga 1MDB dan/atau SRC.

“Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan akan meneruskan usaha sehingga semua pihak yang terlibat
dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kesalahan kepada negara melalui penglibatan mereka dalam 1MDB dan/atau SRC,” ujarnya.

Pada Ogos 2020 Malaysia menerima RM10.5 bilion (US$2.5 bilion) dari Goldman Sachs dengan jaminan pemulangan aset selanjutnya sebanyak RM5.88 biion (US$1.4 bilion).

Kerajaan juga akan menerima RM2.83 bilion dari Ambank Group dan RM336 juta (US$80 juta) daripada Deloitte PLT tidak lama lagi.

Semua hasil dari usaha pemulangan aset 1MDB termasuk penyelesaian akan datang dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulangan Aset di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara
Malaysia.

Penyelesaian itu tidak menjejas atau mengkompromi tuntutan Malaysia terhadap pesalahlaku lain yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC, dan mereka akan tetap dihadapkan ke muka pengadilan melalui sistem perundangan
jenayah dan sivil. – MalaysiaGazette