KUALA LUMPUR – Malaysia kekal berada di landasan untuk mencapai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara 6.0 dengan 7.5 peratus pada 2021, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pertumbuhan itu diperkukuh oleh pemulihan permintaan domestik seperti ditunjukkan indeks perdagangan runcit yang kembali merekodkan pertumbuhan positif 9.6 peratus pada Mac 2021 selepas mengalami penyusutan selama lima bulan sebelum ini.
Beliau berkata peningkatan beransur-ansur yang dicatatkan pekerjaan serta permintaan luaran yang boleh anggap semakin positif juga akan mendorong pertumbuhan ekonomi tahun ini.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menyemak naik pertumbuhan global 2021 kepada 6.0 peratus pada April berbanding dengan unjuran 5.5 peratus yang dibuat pada Januari, katanya.
Unjuran pertumbuhan 2021 yang dibuat itu telah sedia mempertimbangkan ketidaktentuan ekoran pandemik COVID-19, termasuk potensi peningkatan semula kes baharu dan langkah pengekangan bersasar, katanya pada sidang media secara maya susulan pengumuman prestasi KDNK suku pertama 2021 Malaysia pada Selasa.
Beliau berkata, ketidaktentuan tersebut ditunjukkan oleh julat unjuran 150 mata asas oleh BNM, iaitu di antara 6.0 peratus dengan 7.5 peratus.
Nor Shamsiah berkata, BNM menjangkakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak akan menjejaskan trajektori pertumbuhan keseluruhan sehingga mengalami penguncupan -17.1 peratus seperti yang dicatatkan pada suku kedua 2020.
Ini memandangkan kebanyakan sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi dengan langkah pengekangan pandemik dikenakan oleh kerajaan, katanya.
“Satu perbezaan ketara di antara PKP 1.0 dengan PKP 2.0 adalah semua sektor ekonomi dibenarkan operasi semasa PKP 2.0,” katanya. – MalaysiaGazette