Home Nasional Malaysia kena lebih kuat bersuara kutuk serangan Israel – PPIM

Malaysia kena lebih kuat bersuara kutuk serangan Israel – PPIM

Aktivis dan NGO bergambar pada sidang media mengutuk serangan zionis Israel terhadap Palestin di Kondominium Villa Puteri, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 11 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengutuk sekeras-kerasnya kebiadapan serta perbuatan zalim zionis Israel terhadap Palestin.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan dengan ini menggesa agar kerajaan lebih kuat bersuara mengenai penindasan terhadpa rakyat Palestin yang tidka berkesudahan.

“Ada juga kenyataan daripada Wisma Putra semalam, tapi mereka patutnya lebih kuat suara itu kerana ini melibatkan kemanusiaan.

“Dunia hari ini lemah sangat dalam pelaksanaan membela kebenaran, ia menjadi satu trend bila ada tangan ghaib yang merencanakan segala ini,” katanya dalam sidang media mengutuk serangan zionis Israel terhadap Palestin baru-baru ini.

Nadzim berkata demikian merujuk kepada kenyataan Wisma Putra yang hanya mengeluarkan kenyataan mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram yahudi ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei 2021.

Dalam pada itu, Nadzim berkata Israel tidak pernah menghormati hak kesejahteraan rakyat Palestin yang dirampas sejak tahun 1948.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan memulakan aktiviti boikot terhadap beberapa produk yang dikaitkan dengan zionis itu.

“Kita akan senaraikan beberapa produk yang betul mewakili kepentingan zionis Israel ini untuk kita edarkan dan dijadikan sasaran, nak boikot semua mungkin tidak boleh tapi kita akan pilih satu dua produk yang mana umat Islam seluruh dunia akan boikot.

“Saya rasa kita kena ambil teladan terutamanya umat Islam dengan apa yang terjadi disebabkan kelemahan yang menjemput penjajahan. Kita kena buat sesuatu yang akan memperkasakan diri kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Dr Noorazman Mohd Samsuddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional perlu mengambil langkah drastik dengan memainkan peranannya di arena antarabangsa.

Jelasnya, kerajaan mempunyai kuasa untuk menghantar sebarang bantahan serangan Israel terhadap Palestin.

“Kerajaan ada kuasa dan pengaruh dan boleh buat sesuatu, jadi kita menyeru kepada kerajaan jangan buat sidang media seperti kami NGO. Kami tidak ada kuasa, tapi kerajaan ada kuasa untuk hantar bantahan terhadap serangan zionis Israel.

“Kena buat sesuatu, sekatan atau usul kepada United Nation untuk hantar pasukan pengaman kepada kawasan yang dirampas, kalau zaman Tun Dr Mahathir dulu ada jugak kita bersuara, sekarang tidak ada langsung.

“Kalau kerajaan tidak berani bercakap pada antarabangsa dan diluar pun sama, bagaimana dengan rakyat Malaysia. Kami hanya boleh berdoa,” katanya dalam sidang media yang sama.

Wisma Putra pada Sabtu berkata perbuatan zalim tersebut bukan sahaja perlu dikecam sekeras-kerasnya malah zionis Israel mesti dipertanggungjawabkan ke atas pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.

Kenyataan satu muka surat itu menjelaskan ramai rakyat Palestin yang tercedera dalam serangan tersebut yang disasarkan terhadap para jemaah yang sedang menunaikan solat di hari-hari terakhir Ramadan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Selesaikan masalah Jerusalem sama seperti selesaikan masalah Singapore yakni tendang keluar Jerusalem dari Palestine untuk bangsa Yahudi dari Israel sepertimana tendang keluar Singapore dari Malaysia untuk bangsa Cina dari Tanah Besar China, kan?

  2. Syabas Azeris ambil balik Nagorno-Karabah setelah sekian lama PBB tak boleh diharap. Negara kecil DR ratifikasi ICERD tetapi sila Google: Dominican Republic stripped citizens

Comments are closed.