Home Nasional Pemandu maut tersepit di bawah jentolak dipandunya

Pemandu maut tersepit di bawah jentolak dipandunya

Mangsa tersepit di bawah jengkaut yang dipandunya.

KULIM – Seorang pekerja kilang kelapa sawit maut akibat tersepit di bawah jentolak yang dipandunya di sebuah kilang di Sungai Karangan di sini semalam.

Kejadian berlaku pada jam 2.15 petang ketika lelaki warga Nepal berusia 29 tahun itu sedang melakukan kerja-kerja menimbun sisa kelapa sawit di kilang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 2.30 petang sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi.

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa  memandu jentolak itu untuk melakukan kerja-kerja menimbun sisa kelapa sawit di kilang berkenaan sebelum kenderaan berat itu secara tiba-tiba terbalik menyebabkan mangsa tersebit di bawahnya.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba dan dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati dia mengalami kecederaan pada kepala akibat tersepit pada bahagian bawah jentolak itu, selain cedera pada leher dan bahu sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Azhar, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita akan membuat siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kemalangan tersebut,” ujar beliau. – MalaysiaGazette