Home Utama Prestasi ekonomi lebih baik – Gabenor

Prestasi ekonomi lebih baik – Gabenor

Gabenor BNM
Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Prestasi keseluruhan ekonomi negara pada suku pertama 2021 adalah lebih baik, mencerminkan permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan eksport negara yang kukuh, kata Gabenor Bank Negara, Datuk Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Ekonomi Malaysia merekodkan penurunan yang lebih kecil sebanyak 0.5% pada suku pertama (S4 2020: -3.4%).

Semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan, terutamanya sektor perkilangan.

Prestasi pertumbuhan disokong terutamanya oleh kekukuhan permintaan luar negeri yang mendorong keteguhan eksport terutamanya untuk produk elektrik dan elektronik (E&E), juga disokong oleh langkah-langkah dasar yang berterusan.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Kedua (PKP 2.0) serta penutupan sempadan antarabangsa dan sekatan perjalanan antara negeri yang berterusan telah menjejaskan kegiatan ekonomi.

Namun, apabila sekatan dilonggarkan pada bulan Februari dan Mac, kegiatan ekonomi mula meningkat secara beransur-ansur.

Dari segi perbelanjaan, pertumbuhan didorong oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih baik dan eksport yang kukuh. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.7% (S4 2020: -1.5%).

Inflasi keseluruhan menjadi positif kepada 0.5% pada suku pertama (S4 2020: -1.5%) disebabkan oleh inflasi bahan api yang positif meskipun rendah berikutan kesan asas, serta luputnya kesan daripada rebat tarif eletrik secara bertingkat yang dilaksanakan antara bulan April hingga Disember 2020.

Inflasi teras menjadi sederhana kepada 0.7%, mencerminkan terutamanya inflasi yang lebih rendah untuk sewa dan barang kemas.

BNM berkata, ringgit menyusut nilai sebanyak 3.5% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku pertama tahun 2021disebabkan terutamanya oleh dolar AS yang semakin kukuh, yang juga mengakibatkan mata wang negara maju dan negara sedang pesat membangun secara umumnya menjadi semakin lemah.

Hal ini disebabkan oleh tindakan pelabur global yang mengimbangi semula pelaburan portfolio mereka berikutan kenaikan kadar hasil Perbendaharaan AS, yang didorong oleh prospek pemulihan ekonomi AS yang bertambah kukuh dan jangkaan inflasi yang lebih tinggi.

Bank Pusat itu menambah, sejak 1 April, ringgit telah menambah nilai sebanyak 1.0% berbanding dengan dolar AS (setakat 7 Mei).

Pertambahan nilai ini adalah sejajar dengan penurunan nilai dolar AS apabila kadar hasil Perbendaharaan AS mula menunjukkan trend menurun daripada paras tertinggi pada bulan Mac.

Kenaikan harga minyak dunia pada awal bulan April juga memberikan sedikit sokongan kepada sentimen pelabur secara keseluruhan.

Memandangkan keadaan berhubung dengan momentum pemulihan ekonomi global dan dalam negeri pada masa hadapan masih tidak menentu, ringgit dijangka terus terdedah kepada tempoh volatiliti yang ketara.

Pembiayaan bersih kepada sektor swasta mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.7%1 pada suku pertama, disokong terutamanya oleh pertumbuhan jumlah pinjaman terkumpul yang lebih tinggi sebanyak 4.3% (S4 2020: 3.7%).

Pengeluaran pinjaman dan pembayaran balik pinjaman perniagaan kekal melebihi paras purata suku tahunan pada tahun 2017 hingga 2019.

Tambahnya, permintaan pinjaman isi rumah juga kekal menggalakkan berikutan persekitaran dasar monetari yang akomodatif dan pelaksanaan pelbagai langkah rangsangan.

Ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan pemulihan bagi tahun 2021, disokong oleh permintaan luaran dan dalam negeri yang lebih baik

Meskipun langkah-langkah pembendungan dilaksanakan semula baru-baru ini, kesan terhadap pertumbuhan dijangka kurang teruk berbanding dengan tahun 2020 berikutan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

Secara keseluruhan, pemulihan pertumbuhan dijangka memperoleh manfaat daripada permintaan global yang lebih baik, perbelanjaan sektor awam dan swasta yang meningkat serta sokongan dasar yang berterusan.

Ia juga mencerminkan pemulihan keadaan pasaran pekerja, terutamanya berikutan aktiviti pengambilan pekerja yang meningkat secara beransur-ansur.

Pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti perkilangan yang sedia ada dan baharu, terutamanya dalam sektor E&E dan subsektor berkaitan sumber, serta daripada loji pengeluaran minyak dan gas akan memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan.

Katanya, pelaksanaan program pemberian vaksin COVID-19 dalam negeri juga akan meningkatkan sentimen dan menyumbang ke arah pemulihan kegiatan ekonomi.

Walau bagaimanapun, kadar pemulihan dijangka tidak sekata merentas sektor ekonomi.

Nor Shamsiah menjelaskan, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus mendapat manfaat daripada kegiatan ekonomi dan aktiviti perdagangan global yang lebih kukuh pada masa hadapan.

Menurutnya, meskipun prospek pertumbuhan akan terus bergantung pada perkembangan berhubung dengan pandemik, pelaksanaan langkah-langkah pembendungan yang bertujuan untuk mengawal aktiviti sosial dan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi akan mengurangkan impak terhadap kegiatan ekonomi.

Pada tahun 2021, purata inflasi keseluruhan dijangka lebih tinggi antara 2.5% hingga 4.0%, disebabkan terutamanya oleh faktor tolakan kos berikutan harga minyak dunia yang meningkat.

Dari segi trajektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2021 didorong oleh asas yang lebih rendah daripada harga bahan api runcit dalam negeri yang rendah pada suku yang sama tahun 2020.

Inflasi keseluruhan bagi bulan April dan Mei dijangka meningkat antara 6.5% hingga 7.0%.

Walau bagaimanapun, keadaan ini bersifat sementara kerana inflasi keseluruhan dijangka kembali ke paras bawah 5.0% pada bulan Jun, dan terus sederhana selepas itu apabila kesan asas luput.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, dengan purata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun 2021 berikutan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

Namun begitu, prospek inflasi bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi. – MalaysiaGazette