Home Seni Hidup PTPTN edar 12,650 bubur lambuk kepada pelajar IPT

PTPTN edar 12,650 bubur lambuk kepada pelajar IPT

Noraini memberikan bubur lambuk kepada pelajar universiti pada program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN)

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengagihkan sebanyak 12,650 bekas bubur lambuk kepada para pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan masyarakat setempat.

Dalam satu kenyataan PTPTN berkata, pengagihan itu dibuat sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena bulan Ramadan dalam menyantuni pelajar menerusi Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN).

Katanya, program itu dijayakan dengan penuh rasa tanggungjawab untuk berkongsi rezeki dan membantu para pelajar terutama dalam suasana Pandemik Covid-19.

“Selain menyemarakkan penghayatan bulan Ramadan dengan konsep saling membantu dan bekerjasama, program IMRAN ini diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan dan ikatan ukhuwah silaturahim di antara KPT dan PTPTN dengan pengurusan IPT,
pemimpin pelajar, pelajar dan masyarakat setempat.

“Di samping itu, program ini juga dijadikan landasan mempromosikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) di kalangan warga IPT dan masyarakat setempat.

“Progam ini diharapkan dapat mengubah persepsi negatif terhadap peranan dan fungsi PTPTN serta meningkatkan imej positif PTPTN dalam kalangan masyarakat menerusi Program CSR. Usaha ini selaras dengan peranan PTPTN sebagai tabung pendidikan utama negara serta salah sebuah agensi di bawah KPT yang sentiasa cakna dengan keperluan pelajar IPT.” kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad dalam kenyataan yang sama.

Tambah kenyataan itu lagi, secara purata sebanyak 650 hingga 1,000 bekas bubur lambuk disediakan di setiap lokasi.

Katanya, antara IPT yang terlibat adalah Universiti Teknologi Malaysia, Univiersiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah, Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Primer Sultan Salahuddin Abdul Aziz dan Politeknik Kuching. – MalaysiaGazette