PENULARAN wabak pandemik Covid-19 yang telah memasuki tahun kedua dan sedang memasuki gelombang keempat telah memberi impak signifikan kepada segenap masyarakat. Mengikut Ketua Perangkawan Negara, industri pelancongan yang melibatkan sektor pengangkutan dan penginapan adalah antara yang mengalami penyusutan tertinggi dan paling teruk terjejas.
Arahan penjarakan sosial dan halangan perjalanan telah memberi kesan dan beban kepada penciptaan pengalaman dalam aktiviti rekreasi yang semestinya memerlukan pendedahan dan penglibatan secara langsung kepada alam semulajadi. Secara definisi, terdapat empat elemen penting rekreasi luar iaitu i) aktiviti yang dilakukan di luar bangunan, ii) menggunakan pergerakan fizikal iii) dilakukan pada masa lapang dan iv)
dilakukan secara sukarela.
Rekreasi luar boleh dilakukan secara sendirian ataupun menjadi aktiviti sosial yang memerlukan penglibatan kumpulan kecil mahupun di peringkat komuniti. Lazimnya, bagi mendapatkan pengalaman rekreasi yang optimum, interaksi manusia dengan alam dan interaksi manusia sesama manusia adalah perlu namun sejauh mana keperluan ini masih
dapat diperoleh selepas penularan wabak Covid-19?
Memetik kepada kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia, wabak ini sudahpun berada dalam komuniti kita. Walaupun pelbagai program kesedaran telah dilakukan, penularan dalam komuniti masih dilihat berlaku. Walaupun program vaksinasi telah bermula, kita tidak harus leka dan perlu terus berusaha mempertahankan diri, keluarga dan komuniti
dalam mengurangkan penularan dari terus menjangkiti masyarakat. Di manapun kita, peluang masyarakat untuk terus berekreasi seharusnya dikekalkan dan seruan kerajaan untuk pembukaan sektor rekreasi sememangnya telah disahut dengan baik sekali oleh pihak industri rekreasi, dan juga masyarakat.
Pada ketika ini, pihak pengurusan taman dan operator rekreasi sebenarnya masing-masing telahpun membangunkan SOP terperinci sebagai panduan pelawat. Manfaat rekreasi adalah untuk semua, iaitu masyarakat, operator dan juga pengurus perkhidmatan, jadi seharusnya tanggungjawab menjaga keharmonian dan keselamatan ketika beraktiviti adalah tanggungjawab bersama.
Sedar atau tidak, pandemik ini juga sebenarnya telah memberi kesan positif kepada masyarakat. Disebabkan pandemik, kita lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga. Disebabkan pandemik, kita sedar bahawa kita mampu mencipta pengalaman kita sendiri. Kerana pandemik ini juga, kita mula membuka mata kepada produk rekreasi tempatan.
Sebagai penggiat dan pencinta rekreasi, bersediakah kita untuk mematuhi amalan norma baharu dalam melakukan aktiviti luar sehingga putusnya rantaian wabak ini? Adakah kita bersedia untuk mengubah gaya rekreasi supaya aktiviti ini dapat memberi sepenuhnya kebaikan dan bukannya menjadi medium jangkitan ataupun menjadikan situasi lebih
parah dengan mencipta `kluster taman’, ‘kluster kayuh’ ataupun ‘kluster rimba’? Adakah kita bersedia sepenuhnya untuk mendisiplinkan diri, ataupun realitinya kita sendiri sudah selesa berada dalam komuniti wabak ini.
Walau dimanapun kita, Sebelum memulakan sebarang aktiviti rekreasi, fahami punca dan kenalpasti risiko. Bagi meneruskan kelangsungan industri rekreasi luar di Malaysia, kita haruslah mendidik diri untuk menjadi masyarakat yang bertanggungjawab dan menjadi sebahagian dari penyelesaian masalah. Berbasikal, berkhemah, mendaki gunung,
ataupun bersukan di taman tidak akan memberi masalah selama mana kita tidak mengambil mudah. Disertakan beberapa panduan ‘norma baharu’ rekreasi yang boleh
diamalkan.
Pemilihan kawasan: Utamakan lokasi tempatan (Stay Local)
Utamakan kawasan rekreasi yang berhampiran komuniti anda. Kawalan pergerakan telah terbukti adalah langkah berkesan untuk mengawal penyebaran wabak, dan menutup peluang virus ini dari menyebarkan rantaiannya. Awas! Lebih jauh jarak perjalanan anda, lebih tinggi pendedahan anda terhadap risiko jangkitan. Kenalpasti kawasan rekreasi di komuniti anda, rancang pergerakan dan lakukan persediaan. Amalkan prinsip ‘Leave No
Trace’. Ayuh! Beri sokongan kepada pusat rekreasi dan operator yang menitikberatkan perlaksanaan SOP.
Kekalkan kumpulan kecil dan hadkan kontak fizikal
Pilih aktiviti yang tidak memerlukan interaksi fizikal. Begerak dalam kumpulan yang lebih kecil dan elakkan berkongsi peralatan seperi alatan perkhemahan dan pakaian. Kenali rakan rekreasi anda dan kenalpasti sejarah perjalanan dan keadaan kesihatan mereka. Awasi pergaulan dan kawal pergerakan dalam kumpulan. Ingat, selagi belum mencapai status imuniti kelompok, vaksinasi belum menjadi lesen untuk kita alpa dan terlalu selesa.
Amalkan penjagaan kebersihan dan kesihatan terbaik
Sentiasa bekalkan diri anda dengan air, sabun ataupun pembersih tangan beralkohol. Terdapat pelbagai produk inovasi khas untuk keperluan rekreasi luar seperti sabun kertas (paper soap) yang ringan dan mudah dipakai dan pek hidrasi (hydration pack) untuk bekalan air. Sentiasa jaga kebersihan diri serta peralatan sebelum, semasa dan
selepas aktiviti. Sisa makanan, tisu dan alatan pakai buang yang telah diguna haruslah dibungkus dan dibuang dengan segera di tempat yang sepatutnya.
Jika ada ahli kumpulan dikesan bergejala, sedang berada di bawah pemerhatian (PUI), sedang menunggu keputusan saringan atau mempunyai sejarah perjalanan dan pendedahan dengan kawasan merah, tangguhkan sebarang aktiviti rekreasi. Janganlah memberi risiko kepada penggiat rekreasi yang lain, selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tentang kawalan pencegahan virus.
Patuhi undang-undang
Lakukan semakan terhadap status kawasan rekreasi yang ingin anda kunjungi. Terdapat beberapa kawasan rekreasi awam yang masih ditutup dan harus melalui proses nyah infeksi sebelum dibuka semula. Semakan boleh dilakukan melalui portal komuniti.
Perhalusi garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Patuhi saranan pihak berwajib. Masyarakat yang bertanggungjawab semestinya adalah masyarakat yang mematuhi undang-undang.
Beringatlah, rekreasi itu tujuannya untuk memberi manfaat bukannya
musibat. Kekal aktif, sihat, cergas dan sentiasa dalam keadaan sedia
mendepani pasca Covid-19!
Oleh: Dr. Azita Ahmad Zawawi
Pensyarah Kanan
Jabatan Taman Alam dan Rekreasi
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar