GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) menangguhkan Upacara Konvokesyen Ke-58 yang dijadualkan pada 8 hingga 16 Jun depan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Naib Canselor USM Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, pihaknya mengambil keputusan itu selepas mengambil kira kesemua faktor risiko dan penilaian menyeluruh meliputi keselamatan dan kesejahteraan graduan, warga universiti serta masyarakat
“Keputusan itu diambil setelah mendapat perkenan Tuanku Canselor USM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang juga Raja Perlis.
Katanya, segala kesulitan yang berbangkit akibat daripada penangguhan itu terutama berkaitan dengan persiapan dan perancangan awal yang telah dilakukan oleh pihak graduan adalah amat dikesali.
Faisal Rafiq berkata keputusan ini dibuat atas faktor kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kesemua pihak terlibat di sampingĀ pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata para graduan diminta melayari laman web rasmi https://convo.usm.my/ dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini berhubung Upacara Konvokesyen Ke-58 USM. – MalaysiaGazette