Home Nasional Warga asing guna borang rentas negeri dengan nombor siri palsu ditahan

Warga asing guna borang rentas negeri dengan nombor siri palsu ditahan

Tiket keretapi dan dokumen rentas negeri dipercayai palsu yang dikemukan oleh seorang lelaki warga asing ketika ditahan di KTM KL Sentral semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing ditahan kerana menggunakan dokumen rentas negeri dengan nombor siri palsu dan telah tamat tempoh.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, seorang anggota yang bertugas di pintu ketibaan Keretapi Tanah Melayu (KTM) KL Sentral telah memeriksa lelaki warganegara asing berusia 26 tahun sekitar pukul 7.50 pagi semalam.

“Warga asing itu menyatakan baru balik dari Pulau Langkawi sebelum anggota membuat semakan surat rentas negeri dan mendapati nombor siri adalah palsu serta surat rentas negeri tersebut telah tamat tempoh pada Sabtu dimana suspek dikehendaki berada di Nilai, Negeri Sembilan.

“Suspek telah menaiki KTM dari Sungkai semalam pada pukul 5.59 pagi dan tiba di KL Sentral pada pukul 7.46 pagi.

“Borang rentas negeri suspek mempunyai cop Balai Polis Nilai tetapi disahkan tidak berdaftar dengan balai polis tersebut. Semakan pada borang rentas negeri suspek didapati terdapat catatan nombor siri 108/3,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, suspek telah meninggalkan rumah dari Nilai pada 24 April lalu untuk pergi ke Pulau Langkawi bagi urusan kerja dan dijangka pulang pada Sabtu.

Menurut Anuar, polis turut membuat semakan dokumen perjalanan diri suspek dan didapati masih sah sehingga 12 Feb 2022 manakala permit kerja pula didaftarkan atas Syarikat Qieqinz Plantation di Mersing, Johor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 22(d) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – Malaysia Gazette