KUALA LUMPUR – Kegagalan dan ketidakpatuhan masyarakat kepada Prosedor Operasi Standard (SOP) memungkinkan sambutan Aidilfitri yang disambut dengan norma baharu berlarutan hingga lima tahun akan datang.
Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PSITRA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Suhaimi Mohamad berkata, perkara itu mungkin berlaku disebabkan sikap pentingkan diri sendiri segelintir masyarakat yang bertindak melanggar arahan merentas daerah dan negeri semata-mata untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan keluarga di kampung.
“Saya jangkakan tahun-tahun akan datang juga kita akan menyambut Aidilfitri dalam keadaan sama sekarang kerana saya melihat kepada trend pematuhan sosial.
“Kita kena tanya diri kita mengapa tahun ini kita tidak boleh boleh menyambut Aidilfitri tanpa SOP kerana kelalaian mematuhi SOP dan mengambil mudah contohnya apabila kita dibenarkan untuk keluar dalam tempoh PKPB, kita mengambil peluang itu dengan bersosial dengan rutin biasa.
“Walaupun sudah ramai yang dapat suntikan vaksin, ia bukan kebal dan vaksin mungkin boleh mengurangkan risiko kematian tetapi untuk dijangkiti itu masih boleh berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dr Mohd Suhaimi berkata, pematuhan kepada pemakaian pelitup muka dan hidung sahaja tidak memcukupi sekiranya pematuhan kepada penjarakan sosial diabaikan.
Jelasnya, sekiranya semua SOP dipatuhi oleh segenap lapisan masyarakat, tidak mustahil penularan dalam gelombang kedua Covid-19 ini dapat diputuskan.
“Kalau semua orang patuh seperti mana awal-awal PKP dahulu dengan jaga penjarakan, beratur satu meter, penularan ini boleh dibendung tapi bila masyarakat lalai, penularan kembali mengganas.
“Virus ini semakin lama semakin mutasi dan bila berada dalam badan manusia sehingga tidak ada simptom. Kita lihat kadar jangkitan sekarang sangat merbahaya.
“Kegagalan kita mengawal nafsu dan SOP itu juga akan menyebabkan tahun hadapan dan dalam masa lima tahun, kita masih berada dalam SOP,” katanya.
Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara tidak dibenarkan, berkuat kuasa Isnin lalu hingga 6 Jun ini.
Malah sepanjang tempoh itu juga aktiviti berkaitan sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam, adalah tidak dibenarkan.
Ia termasuk aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan serta swasta.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Suhaimi berkata, rakyat sememangnya marah akan pelaksanaan PKP di seluruh negara namun ia adalah langkah terbaik untuk mmemastikan penularan Covid-19 dapat dikawal khususnya pada musim perayaan.
“Bila ini dihalang ia akan berlaku akan timbul perasaan marah kepada kerajaan dan selalunya ia akan menyebabkan masyarakat lepaskan kemarahan itu dalam sosial media dengan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.
“Apa yang berlaku adalah wujud perasaan suka dan benci dengan pemimpin semasa, itu yang kita nampak.
“Bila hadir kesedaran yang masyarakat memang tertakluk kepada arahan PKP, jadi akan berlaku penerimaan tapi sebelum itu mereka akan beremosi dahulu. Itu proses yang akan mereka lalui, bila masyarakat telah menerima hakikat, di situ mereka akan rasional balik pemikiran mereka,” katanya.
Justeru itu, rakyat diminta untuk bertolak ansur dengan arahan kerajaan dan mula menerima hakikat bahawa negara kini berdepan dengan pandemik dan meneruskan kehidupan dengan norma baharu.
“Mereka akan cuba buat adaptasi dengan situasi semasa, jadi dalam kes ini semua orang sudah boleh terima tidak dibenarkan melakukan perjalanan di semua daerah dan negeri.
“Semua orang sudah terima dan sekarang ini tengah menerima bahawa mereka kena sambut Aidilfitri dalam ruang lingkup yang dibenarkan,” katanya lagi.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur sempena sambutan Aidilfitri tidak dibenarkan.
Malah solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak lebih 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah serta 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang 1,000 jemaah.
Kerajaan sebelum ini membenarkan aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Ia termasuk tempoh dan jumlah pengunjung berbeza di kawasan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP). -MalaysiaGazette