Home Utama Lebih 1 juta orang akan menganggur jika ikut PKP 1.0 – Tengku...

Lebih 1 juta orang akan menganggur jika ikut PKP 1.0 – Tengku Zafrul

KWAN Wang Amanah Negara National Trust Fund Finance Minister, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz at a news conference at the Ministry of Finance (MOF), Putrajaya. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 26 APRIL 2021.
Tengku Zafrul Abdul Aziz

PUTRAJAYA – Kadar pengangguran dijangka melebihi sejuta orang jika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seperti PKP 1.0 yang dilakukan pada tahun lalu.

Pada PKP 1.0 kerajaan mengarahkan semua sektor ekonomi ditutup sepanjang tempoh kawalan pergerakan itu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, PKP secara menyeluruh akan memberi kesan negatif kepada rakyat akibat kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan dengan simpanan sedia ada terhakis.

Beliau menambah, seramai 2.8 juta rakyat yang bekerja dalam sektor mikro dan usahawan kecil akan terjejas melalui pengurangan pendapatan yang besar.

“Jika penutupan ekonomi dilaksana, syarikat swasta akan menangguh pelaburan serta menangguh penggajian pekerjanya.

“Sebenarnya PKP 1.0 telah menyebabkan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi dan apa yang lebih membimbangkan adalah kadar pengangguran yang telah melonjak naik sehingga 5.3 peratus (826,000) pada Mei 2020.

“Seandainya PKP 1.0 dilaksanakan semula sekarang, dianggarkan lebih 1 juta rakyat Malaysia akan menganggur,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, apa yang lebih membimbangkan ialah  pengangguran tidak sekata yang tertumpu kepada golongan mereka bekerja sendiri, belia, wanita dan pekerja berkemahiran rendah.

Berikutan itu, katanya, kerajaan mengambil pendirian untuk melaksanakan PKP secara bersasar terhadap jenis aktiviti yang dibenarkan berdasarkan pengalaman lalu.

“Kadar pengangguran telah menunjukan penurunan kepada 4.7 peratus sejak Mac tahun ini.

“Jika kita berhentikan aktiviti ekonomi pada PKP 3.0, ketidaktentuan berhubung kelangsungan perniagaan bakal menyebabkan sektor swasta menanggung pelaburan dan pengajian pekerja,” jelasnya.

Menurut Tengku Zafrul, PKP 3.0 masih menggunakan prosedur operasi standard (SOP) PKP 2.0 namun aktiviti sosial diperketatkan bagi mengekang penularan Covid-19. -MalaysiaGazette