KUALA LUMPUR – Penahanan tiga suspek berjaya membongkar operasi perjudian dalam talian di sebuah pangsapuri di ibu kota semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketiga-tiga suspek itu adalah lelaki warga tempatan berusia 21 hingga 36 tahun.
Katanya, serbuan itu dilakukan oleh pasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul lebih kurang 4.30 petang.
“Dalam serbuan di rumah pangsa di Taman Sri Sinar Sentul itu rumah polis mendapati premis itu menjadi sarang judi online atau pusat calling centre.
“Hasil serbuan polis berjaya menahan tiga suspek lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Beng Lai, hasil soal siasat polis mendapati sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak tujuh bulan lalu.
Hasil siasatan awal juga mendapati kegiatan itu berselindung di sebalik rumah pangsapuri persendirian itu untuk meneruskan perjudian haram.
“Hasil dari tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis telah berjaya merampas 11 unit telefon bimbit pelbagai Jenama, tiga unit komputer riba Apple Macbook Pro, enam keping kad akses pintu rumah pangsapuri, serangkai kunci rumah dan seunit Router Jenama Tp-Link.
“Kesemua suspek kini telah ditahan reman di IPD Sentul sehingga 13 Mei ini untuk membantu siasatan lanjut polis,” ujarnya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam aktiviti Judi Online (Calling Centre).- MalaysiaGazette