Home Nasional 13 hotspot samseng jalanan di Pulau Pinang dikenal pasti

13 hotspot samseng jalanan di Pulau Pinang dikenal pasti

Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah antara lokasi kegilaan samseng jalanan (gambar kecil) menunjukkan aksi mereka di atas jambatan.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mengenal pasti 13 lokasi hotspot sekitar negeri itu yang dijadikan sebagai litar lumba haram oleh samseng jalanan.

Lebih membimbangkan, rata-rata samseng jalanan itu bukan saja berlumba sesama sendiri malah turut melakukan pelbagai aksi yang boleh menguggatkan keselamatan pengguna jalan raya lain di lokasi tersebut.

Difahamkan, setiap hujung minggu laluan tertentu di 13 lokasi tersebut akan dipenuhi mat rempit dan mereka akan mula beraksi atas jalan apabila tiada kehadiran polis.

Zafri.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Zafri Zokapli, sebanyak 13 lokasi yang di kenal pasti itu membabitkan lima daerah iaitu Timur Laut (TL) Barat Daya (BD), Seberang Perai Tengah (SPT) , Seberang Perai Utara (SPU) serta Seberang Perai Selatan (SPS).

Jelas beliau, bagi daerah TL sebanyak tiga lokasi dikenal pasti iaitu sekitar Lebuh Raya Dr Lim Choong Eu (E-Gate); Jalan Sultan Azlan Shah hingga Jelutong serta Jalan Bukit Gambir manakala bagi daerah BD pula, Jalan Sultan Azlan Shah (Bulatah Bayan Baru); Lebuh Raya Dr Lim Choong Eu (Seagate) dan Jalan Mayang Pasir (hadapan Sunshine).

Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah antara lokasi yang dijadikan litar lumba oleh samseng jalanan.

“Bagi daerah SPU, Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (Borr); Jalan Air Itam-Guar Perahu dan diikuti dua kawasan di daerah SPT iaitu Susur Masuk dan Keluar Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) serta Seberang Jaya- Sama Gagah manakala bagi SPS pula, sekitar Bandar Tasek Mutiara; Jalan Transkrain-Bukit Panchor serta Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

“13 lokasi ini dikenal pasti sebagai kawasan panas samseng jalanan selepas risikan dan operasi aktiviti mat rempit di kesan sekitar kawasan terbabit,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam satu temu bual khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang baru-baru ini.

Samseng jalanan diberkas dalam satu operasi di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (Borr). – Pix Ihsan PDRM

Kata Zafri, tiada aktiviti perjudian dalam perlumbaan tersebut dikenal pasti setakat ini sebaliknya lebih kepada teruja memperagakan motosikal serta berlagak hero atas jalan.

Jelas beliau, hasil siasatan pihak polis juga mendapati rata-rata samseng jalanan itu akan menunjukkan aksi masing-masing sekiranya kawasan berkenaan dipenuhi orang awam.

“Kita tidak menafikan kehadiran penonton di lokasi samseng jalanan itu membuatkan mereka bersemangat menunjukkan pelbagai aksi walaupun ia membahaya diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

Antara aksi samseng jalanan yang dirakam di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah baru-baru ini.

“Tiada akta boleh diambil terhadap penonton sebaliknya pihak polis hanya boleh mengarahkan mereka bersurai serta mengambil tindakan sekiranya melanggar SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” ujar Zafri.

Tambah Zafri, pihak polis sentiasa melakukan pemantauan serta operasi dilokasi yang dikenal pasti  itu serta lokasi lain bagi memastikan aktiviti samseng jalanan menjadikan jalan raya sebagai litar lumba dapat dibanteras di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette