KUALA LUMPUR – Saiz virus Covid 19 amat kecil, bersamaan sehelai rambut dibelah hampir 1,300 kali, menyukarkannya di kesan.
Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, ia sekali gus sukar untuk mengelakkan seseorang daripada dijangkiti virus tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, sejak kebelakangan ini, kes harian Covid-19 kembali melonjak tinggi, hampir 4,000 kes harian baharu, merupakan angka yang amat membimbangkan.
Katanya, terdapat empat faktor menyumbang kepada peningkatan jangkitan Covid-19 sejak mutahkhir ini dan jika ia berterusan tanpa kawalan yang ketat maka angka akan terus melonjak lebih tinggi.
“Saya berpandangan, ia ada kaitan dengan lonjakan kes yang berlaku di luar negara contohnya di USA, Kanada, Thailand, India, Vietnam, dan Filipina.
“Kedua, lonjakan ini disebabkan mutasi virus iaitu (V.O.C) dari United Kingdom, Afrika Selatan, India, dan juga Brazil.
“Ketiga, kelesuan dalam mematuhi SOP oleh individu dan agensi tertentu dan seterusnya faktor pembukaan beberapa sektor tertentu yang akhirnya wujud kelemahan dalam mematuhi SOP dan tercetusnya kluster baharu.” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, baru-baru ini.
Menurut Dr. Rohaizat, kehadiran mutasi berganda dari India (B.1.617.1) kini beradaptasi dengan lebih pantas dari manusia, sekali gus menambahkan lagi kelesuan masyarakat dalam menghadapi pandemik virus itu.
Beliau berkata, bagi menangani kelesuan itu, rakyat perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan mengamalkan norma baharu sepanjang penularan Covid-19.
“Amalan norma baharu ini amat penting dilaksanakan sama seperti kita hidup dengan kehadiran wabak denggi namun kita boleh melakukan aktiviti yang mengurangkan wabak tersebut.
“Saya ringkaskan di sini antara aktiviti-aktiviti yang boleh laksanakan Covid iaitu C – kita cegah, kita kawal (control), kita elakkan, O pula adalah patuhi (obey) SOP, agensi tertentu boleh beroperasi dan perkhidmatan online.
“Manakala V adalah vaksin bagi mempercepatkan 80% rakyat Malaysia menerimanya dan imuniti kelompok dapat dibangunkan serta vitual dalam aktiviti seharian, I pula internet, intergrasi, internasional, dan D adalah digital, perlukan doktor, sumber pembangunan (development).” katanya. – MalaysiaGazette