Home Nasional Hamas: Editor, Ketua Editor berita Mandarin RTM dipanggil beri penjelasan

Hamas: Editor, Ketua Editor berita Mandarin RTM dipanggil beri penjelasan

Kerajaan Gagal criticise government Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Editor Meja Mandarin dan Ketua Editor Berita Mandarin Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang terlibat dengan menggelar kumpulan Hamas sebagai kumpulan pengganas telah dipanggil untuk memberikan penjelasan dan laporan lengkap.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pegawai terlibat juga telah dikenakan surat tanjuk sebab dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan oleh pihak pengurusan.

“Permohonan secara terbuka di dalam siaran berita untuk pembetulan telah disiarkan dalam berita tengahari pada pukul 1 tengahari dan berita Mandarin pada pukul 7 malam hari yang sama pada 12 Mei,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada berita Mandarin yang disiarkan RTM pada hari tersebut menyatakan: “Kumpulan militan Hamas di Gaza telah melancarkan beberapa roket ke arah Jerusalem dan selatan Israel.

“Menyebabkan tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas kubu kuat Hamas di utara Gaza,” kata pembaca berita.

Menurut Saifuddin, seksyen Berita Ehwal semasa telah diminta mengkaji semula prosedur operasi standard tugasan Bilik Berita khususnya dalam penyuntingan dan penerbitan berita televisyen untuk memastikan kesilapan serupa tidak berulang pada masa hadapan.

Tambah beliau, RTM peka tentang situasi yang berlaku dan sentiasa teguh menyokong pendirian Malaysia dan aspirasi berhubung konflik yang melanda dan mendukung kedaulatan serta kebebasan Palestin.

Katanya, RTM akan terus berusaha dalam menambah baik kualiti penyampaian berita dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette