KUALA LANGAT – Suasana malam di Kampung Jenjarom, di sini, meriah dihiasi cahaya pelita menjelang sambutan hari raya Aidilfitri.
Beberapa buah rumah turut dilimpahi sinaran lampu neon dan diod pemancar cahaya (LED) sekali gus memberi gambaran seolah-olah sedang berada di I-City yang terletak di Shah Alam.
Selain itu, dekorasi replika raya berbentuk masjid berserta tulisan Salam Aidilfitri 1442 Hijrah turut menarik perhatian sesiapa sahaja yang melintasi kampung tersebut.
Penduduk kampung, Muhammad Firdaus Rahmat, 30, berkata, sudah masuk tahun ketiga anak-anak muda di kawasan itu bergotong-royong memasang lampu hiasan bertemakan hari raya di sebatang jalan utama.
Menurutnya, aktiviti sedemikian bukan sahaja mengisi masa lapang bahkan dapat menghidupkan suasana hari raya yang semakin suram semenjak negara dilanda pandemik Covid-19.
“Kalau sebut sahaja pasal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah tentu ramai orang yang akan down tapi seperti tahun lalu kita dah mula pacak pelita dan tahun ini pula lebih 1,500 berjaya dipasang.
“Setiap lorong yang kita lalu tadi penuh dengan cahaya pelita dan semuanya dipasang oleh anak-anak muda selain inisiatif tuan rumah itu sendiri.
“Dalam situasi PKP ini memang semua orang tidak boleh ke mana-mana, jadi inilah aktiviti kami di sini sambil mengisi masa lapang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung, Sahruddin Nan, 50, berkata, memasang pelita raya sudah menjadi antara perkara wajib yang akan dilakukan olehnya setiap kali tibanya lebaran.
Jelas Sahruddin, dia memasang lebih 100 biji pelita yang diisi dengan minyak tanah di sekeliling rumah pusaka peninggalan orang tuanya itu.
“Dari zaman kanak-kanak lagi saya dah diajar oleh orang tua dulu-dulu untuk memasang pelita kerana ia merupakan sebahagian daripada tradisi setiap kali hari raya.
“Jadi untuk menyemarakkan lagi suasana raya lebih-lebih lagi kita di bawah PKP ini, jadi saya ambil inisiatif untuk pasang lampu LED juga supaya lebih ceria dan berwarna-warni,” ujarnya.
Bagi seorang warga emas, Baharuni Sarion, 63, menghias rumah dengan deretan pelita dan lampu moden berwarna-warni sudah menjadi rutin tahunan yang dilakukannya bersama enam lagi adik-beradik.
“Memang setiap tahun dari saya bujang dulu pun minat pasang pelita ketika musim raya bersama adik-beradik lain sehingga lah lanjut usia begini.
“Di atas tanah ini ada tujuh buah keluarga semuanya dan saya merupakan abang sulung.
“Sehingga kini kami semua masih sepakat untuk menghias rumah ketika menjelangnya Aidilfitri kerana aktiviti ini lah yang dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kami.
“Ditambah pula cucu sendiri dan cucu saudara seronok tengok lampu hiasan berwarna ini sambil bermain bunga api,” katanya. – Malaysia Gazette