KUALA LUMPUR – “Sekretariat #Aid4Palestine” yang ditubuhkan hasil kerjasama lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan bagi menggerakkan misi untuk mengambil tindakan proaktif dan segera dalam membantu perjuangan rakyat Palestin yang kini ditindas rejim Zionis.
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sekretariat itu berfungsi sebagai koordinator jaringan NGO dan masyarakat sivil untuk menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
Pada masa sama, katanya, ia juga berperanan untuk menyelaras kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah pendanaan ramai dengan sasaran RM1juta bagi disalurkan terus ke Palestin.
“Komitmen fasa pertama yang akan disalurkan menjelang 10 Syawal sudah mencecah RM350,000 hasil kutipan terkumpul NGO PASRelief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia, manakala kutipan fasa kedua menyasarkan minimum RM650,000 akan dibuka sehingga 30 Syawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Abdul Hadi berkata intifadah di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam melangkaui batas sempadan negara dan perbezaan mazhab, demi membela keadilan serta hak rakyat Palestin.
Beliau berkata, setiap umat Islam perlu terus berdoa dan memberi tekanan ke atas rejim Zionis dengan pelbagai cara dan teknologi terkini supaya kekejaman terhadap penduduk Palestin dapat dihentikan dan hak mereka dikembalikan.
“Tidak cukup dengan itu, infak dan sumbangan setiap umat Islam bagi membantu perjuangan rakyat Palestin perlu diteruskan, sebagai tanda pengorbanan dan kasih kita kepada Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin yang dimuliakan oleh Allah. Selamatkan Masjid Al-Aqsa, bebaskan Palestin,” katanya. – Bernama
Pernah mengaku beri geran tanah kepada bangsa asing dari Tanah Besar India berbanding Palestine enggan beri tanah Baitulmaqdis kepada bangsa Yahudi, kan?