SAYUNYA hati mendengar takbir raya di kaca televisyen dan lagu-lagu ‘berhantu’ hari raya ligat diputarkan di corong-corong radio. Terkenang penulis perbualan telefon bersama emak beberapa hari lalu “Mak tak buat apa pun raya ni, beli dua tiga jenih kuih di pekan buat jamu tetamu kalau ada yang datang beraya’. Itu jawapan emak dalam nada berbaur kesedihan mengenangkan menyambut Aidilfitri hanya berdua bersama ayah. Orang tua mana yang tidak tersentuh hati mengenangkan Hari Raya Aidilfitri kali ini sama seperti tahun sebelumnya, tiada anak cucu dapat pulang ke kampung seperti kebiasaan.
Bukan penulis sahaja yang merasai dugaan tidak dapat pulang berhari raya buat kesekian kalinya, ramai anak-anak perantauan yang merenung nasib dan meratap hiba seperti penulis membayangkan keadaan ibu dan ayah masing-masing di pagi Aidilfitri. Jika sebelum pandemik COVID-19 membadai negara, dua tradisi Hari Raya yang masih kekal utuh di teruskan oleh masyarakat generasi kini iaitu pulang ke kampung halaman dan amalan kunjung mengunjung ke rumah jiran tetangga dan sanak-saudara masih dapat kita lihat dan rasai.
Tetapi sejak kehadiran tetamu yang tidak diundang iaitu COVID-19 datang bertandang, impaknya kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu disusuli proklamasi darurat pada tahun ini bagi mengawal penularan jangkitan hingga menyebabkan lebih banyak pihak dan sektor ekonomi terkesan. Keputusan yang tidak menyenangkan ini tetapi perlu diambil oleh Kerajaan bagi mengelakkan musibah yang besar membuatkan umat Islam di Malaysia sekali lagi menempuh norma baharu 1 Syawal yang menyuramkan tradisi dan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.
Melihat laporan hari jangkitan harian kes COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seminggu sebelum Hari Raya sememangnya amat menggerunkan kerana kes melebihi angka 4,000 kes. Malah KKM tanpa berselindung melaporkan katil-katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin mencapai tahap maksima penggunaannya bagi merawat pesakit kritikal COVID-19. Jika masih ada pihak yang menganggap data-data jangkitan harian di manipulasi untuk kepentingan pihak tertentu dan virus ini tidak mengancam nyawa seperti di hebohkan dan hanyalah satu mainan konspirasi semata-mata, penulis menyeru golongan ini untuk kembali berpijak di bumi nyata.
Beberapa hari sebelum raya, keputusan Kerajaan memutuskan semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak polis di seluruh negara tidak dibenarkan dan kemudiannya diputuskan pula tidak dibenarkan aktiviti ziarah ibarat menambah garam ke luka rakyat yang tidak dapat pulang berhari raya. Sedarilah bahawa ini merupakan pengorbanan besar yang perlu kita lakukan walaupun hati meronta untuk pulang ke kampung halaman. Seperti penulis nyatakan, penularan COVID-19 perlu disekat segera sebelum negara dan sektor kesihatan ‘lumpuh’ dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sendiri mengakui, pertambahan kluster-kluster baharu ada yang berpunca dari aktiviti rentas negeri dan daerah.
Walaupun tidak seseronok seperti berhari raya di desa bersama keluarga besar yang lain, nikmat berpeluang meraikan Aidilfitri dalam suasana negara yang masih aman, kelengkapan dan keperluan hari raya masih boleh disediakan serta insan-insan yang tersayang masih bersama kita, itulah kemanisan rezeki yang tak ternilai dari Allah SWT dan wajar kita syukuri sebagai hambaNya.
Ini selari dengan firman Allah di dalam Surah Ibrahim ayat ketujuh yang bermaksud “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. Sesungguhnyamasih ramai umat Islam di luar negara yang tidak merasai nikmat seperti kita di Malaysia ketika menyambut Aidilfitri kerana kehidupan mereka di sana lebih perit, terhimpit dan sengsara sehari-harian.
Hakikatnya, tanpa kedatangan COVID-19, PKP mahupun darurat sekalipun, melalui pemerhatian penulisan pengisian Aidilfitri sebenarnya semakin suram tahun demi tahun tidak seperti penulis kecil dahulu. Bukannya kerana faktor usia sudah bertambah tetapi dek peredaran zaman yang semakin maju dan perkembangan hebat teknologi berkomunikasi telah banyak mengubah tradisi yang dahulu sinonim dengan Hari Raya Aidilfitri, kini menjadi sesuatu yang asing bagi kita semua.
Marilah kita mendoakan pengorbanan kita sekali lagi pada tahun ini bukannya sesuatu yang sia-sia, penularan COVID-19 akan segera surut dan berlalu pergi agar tahun hadapan kita berpeluang merasai kembali nikmat berhari raya bersama ibu-bapa, adik beradik dan sanak saudara. Dapat juga kita menyambung kembali tradisi balik kampung dan ziarah-menziarahi sempena Hari Raya Aidilfitri.