Home Utama Dakwaan isteri mati didera suami, polis tunggu laporan hospital

Dakwaan isteri mati didera suami, polis tunggu laporan hospital

Dakwaan seorang wanita meninggal dunia akibat didera suaminya tular di Facebook hari ini.

SUNGAI PETANI – Polis kini sedang menunggu laporan perubatan berhubung kematian seorang wanita hari ini yang didakwa mangsa dera suaminya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, berdasarkan siasatan awal, Siti Khodijah Ab Manaf, 31, dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar pada 19 April lalu dan pihak doktor mengesahkan pembuluh darah di kepalanya bengkak dan pecah serta perlu menjalani pembedahan.

Adzli Abu Shah.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia hari ini selepas koma hampir 26 hari.

“Hasil siasatan mendapati wanita ini pernah membuat laporan menjadi mangsa dera suaminya di kediaman mereka di Bandar Puteri Jaya di sini pada September lalu.

“Mangsa membuat laporan untuk dapatkan perintah perlindungan diri dan anak-anak memandangkan sering menjadi mangsa dera suaminya yang juga bekas anggota tentera,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, susulan kejadian itu, pihak polis menahan suspek berusia 36 tahun sebelum didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 326A akta sama pada 10 Mac lalu.

“Suspek telah diberi jaminan sebanyak RM5,000 manakala tarikh sebutan semula pada 8 Jun depan.

“Kita kini sedang menunggu laporan daripada pihak hospital bagi mendapat gambaran sebenar kejadian berhubung kematian mangsa.

“Saya minta orang ramai hentikan spekulasi berhubung kematian wanita itu agar tidak mengganggu siasatan serta menyinggung perasaan keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, abang mangsa, Mohd Fairuz Ab Manaf berkata, anak keempat daripada lima beradik itu dibawa pulang dari rumah suaminya di Sungai Petani tiga bulan lalu selepas sering mengadu menjadi mangsa dera lelaki tersebut.

Jelas Mohd Fairuz, selepas dibawa pulang adiknya itu tidak pernah mengadu sakit, sebelum ditemui terbaring kira-kira jam 3 pagi pada 19 April lalu.

“Sebaik menyedari kejadian itu, saya menelefon adik lelaki kami untuk bantuan sebelum mendapatkan bantuan pihak ambulans untuk membawa Siti Khotijah ke hospital.

“Selepas koma hampir 26 hari, kami sekeluarga dikejutkan dengan berita pemergiannya kira-kira jam 2.50 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Fairuz, pihak keluarga kini sedang menunggu laporan daripada pihak hospital berhubung kematian adiknya itu.

“Kami dimaklumkan bedah siasatan akan dibuat esok susulan menunggu keputusan ujian Covid-19,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Fairuz berkata, anak Siti Khodijah yang berusia lingkungan dua hingga lapan tahun kini dalam penjagaannya.

“Bapa mereka tidak datang menjenguk atau memberikan nafkah sejak arwah pulang ke pangkuan keluarga,” kata Mohd Fairuz.

Terdahulu tular beberapa keping gambar mangsa di Facebook mengatakan mangsa meninggal dunia akibat didera suami dan orang ramai diminta menghulurkan bantuan untuk anak-anaknya. – MalaysiaGazette