Home Dunia Syarikat penerbangan global batal penerbangan ke Israel

Syarikat penerbangan global batal penerbangan ke Israel

Pesawat American Airlines. foto Business Journal

NEW YORK – Syarikat-syarikat penerbangan global membatalkan penerbangan ke Israel ketika pertempuran antara tentera Israel dan pejuang Palestin di Gaza semakin meningkat.

Delta Air Lines (DAL), American Airlines (AAL), United Airlines (UAL), Lufthansa (DLAKF) dan British Airways telah membatalkan penerbangan berikutan serangan udara Israel dan roket Palestin.

Delta membatalkan sekurang-kurangnya enam penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy New York dan Tel Aviv pada hari Rabu dan Khamis, menurut jurucakap syarikat penerbangan itu.

American Airlines juga telah membatalkan penerbangan antara JFK dan Tel Aviv hingga Sabtu, kata seorang jurucakap.

United Airlines turut membatalkan penerbangan ke dan dari Tel Aviv hingga Sabtu ini.

British Airways memaklumkan telah membatalkan penerbangannya antara London dan Tel Aviv yang dijadualkan hari ini.

“Seperti syarikat penerbangan lain, kami telah membatalkan penerbangan kami ke dan dari Tel Aviv hari ini. Keselamatan rakan sekerja dan pelanggan selalu menjadi keutamaan kami dan kami terus memantau situasi dengan teliti,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa membatalkan penerbangan ke Israel hingga hari ini tetapi ia menjangkakan operasi penerbangan akan bermula pada hari Sabtu.

United, Delta dan American Airlines telah mengeluarkan pengecualian perjalanan untuk penumpang yang pergi ke dan dari Tel Aviv, yang membolehkan mereka menempah semula penerbangan lain. – MalaysiaGazette