Home Nasional Mayat wanita terapung di Sungai Batu ada ciri laporan orang hilang

Mayat wanita terapung di Sungai Batu ada ciri laporan orang hilang

Fizz Fairuz scam DBKL tender contract Datuk Seri
ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Polis telah menerima laporan polis mengenai kehilangan seorang wanita yang mempunyai ciri-ciri mirip dengan mayat seorang wanita yang ditemui terapung dalam perangkap sampah di Sungai Batu, Batu 3, Jalan Ipoh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng lai berkata, setakat ini pihaknya belum dapat mengenalpasti identiti mangsa berkenaan kerana mayatnya masih berada dalam proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, laporan polis kehilangan seorang perempuan berusia 31 tahun telah diterima dari satu keluarga tempatan di Balai Polis Kepong pada 11 Mei lalu.

“Selepas polis meneliti keadaan fizikal mayat mangsa mendapati ada beberapa ciri persamaan dengan wanita yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu.

“Bagaimanapun, identiti mayat itu akan dibuat menerusi cap jari mangsa dan akan dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk proses pengecaman identiti dan asal usul mangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kes tersebut.

Artikel berkaitan: Mayat wanita di perangkap sampah

Tambah beliau, sekiranya padanan cap jari tidak jelas dan gagal membawa kepada mengenal pasti identiti simati itu, polis akan mengambil tisu-tisu pada badan mangsa.

Ditanya sama ada ahli keluarga simati sudah dikenalpasti, Eng Lai berkata, polis masih belum menjejaki ahli keluarga simati kerana perlu mendapatkan pengesahan identiti simati.

“Kita belum mengenalpasti ahli keluarga kerana kita kena kenal pasti identiti mangsa dulu sebelum mencari ahli keluarganya untuk padanan DNA.

“Kami telah memaklumkan penemuan mayat wanita ini kepada keluarga yang membuat laporan polis mengenai kehilangan ahli keluarga mereka.

“Mereka (keluarga) datang ke bilik mayat hospital semalam untuk proses pengecaman tapi belum kenalpasti adakah simati adalah ahli keluarganya yang dilaporkan hilang sebelum ini kerana keadaan fizikal mayat sudah berbeza.

Kes itu masih diklasfikasikan dan disiasat sebagai mati mengejut (SDR) sehingga proses bedah siasat selesai.

Katanya, polis memerlukan tempoh seminggu bagi pengesahan identiti mayat tersebut.- MalaysiaGazette