BULAN Ramadan pada tahun ini sudah pun berakhir. Tidak seperti tahun-tahun
sebelum pandemik melanda dunia, bulan Ramadan lalu ditempuhi dengan penuh
cabaran. Tentunya, pengertian dan penghayatan Ramadan sepatutnya digarap dalam
konteks yang lebih jauh dan besar.
Umum mengetahui bahawa bulan Ramadan adalah bulan umat Islam menjalani ibadah
puasa dengan menahan lapar dan dahaga. Selain itu, umat Islam juga dituntut untuk
menahan nafsu serta menjauhi perkara-perkara yang dilarang dalam Islam. Semua ini
memerlukan pengorbanan yang tinggi bagi mengecapi kejayaan.
Sepanjang Ramadan ini, banyak restoran mahupun hotel menyediakan pakej berbuka puasa.Sebenarnya, berbuka puasa beramai-ramai seperti ini adalah sesuatu yang patut dielakkan pada musim pandemik ini terutama apabila kita berbuka puasa bersama ahli keluarga daripada isi rumah yang berlainan serta rakan-rakan.
Jika kita lihat kembali, kluster-kluster kes baharu biasanya dalam kalangan kluster tempat
kerja, kluster pendidikan seperti sekolah berasrama dan kluster komuniti akibat majlis-majlis dan perhimpunan; baik keagamaan ataupun sosial. Ini jelas memberikan isyarat bahawa jangkitan selalunya datang daripada orang-orang yang kita kenal, rakan-rakan kita, keluarga kita dan anggota masyarakat sekeliling kita.
Tentunya sebagai umat Islam, amalan kita tidak hanya terhad kepada menahan diri daripada makan atau minum, bahkan menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang menyalahi SOP pun adalah amalan mulia serta dituntut oleh Islam. Dalam pandemik ini, kita hendaklah menjauhkan diri daripada menghadiri majlis-majlis keramaian, tempat-tempat tumpuan seperti pusat membeli belah dan bazar yang turut tersenarai sebagai hotspot dalam sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE).
Selain itu, aktiviti-aktiviti yang menyukarkan penjarakan fizikal juga harus dielakkan untuk mencegah jangkitan. Ramai umat Islam menggesa supaya masjid-masjid dibuka penuh sepanjang bulan yang mulia ini. Beribadat di masjid masih mempunyai risiko sekiranya SOP tidak dipatuhi. Ini juga dibuktikan dengan kemunculan beberapa kluster keagamaan yang terjadi baru-baru ini di beberapa kawasan di Johor dan Melaka.
Tinjauan kami mendapati bahawa ramai jemaah tidak mengenakan pelitup muka dengan
betul. Pelitup muka hanya dipakai sempurna apabila masuk ke masjid. Apabila ingin memulakan solat, mereka melonggarkan pelitup muka dengan mendedahkan hidung
ataupun memakainya di atas dagu.
Ramai beralasan bahawa pemakaian pelitup muka menyebabkan rasa tidak selesa dan sukar bernafas. Tidak kurang juga yang menghadapi masalah alahan pada kulit dan jerawat disebabkan pemakaian pelitup muka ini. Apapun alasannya, pemakaian pelitup muka diwajibkan dan salah satu cara pencegahan yang terbukti berkesan terhadap penularan Covid-19.
Apabila terjumpa rakan-rakan ataupun saudara mara, elakkan bersalaman. Ini adalah kerana Covid-19 boleh merebak melalui sentuhan tangan yang tercemar. Bersihkan tangan dengan kerap menggunakan air dengan sabun ataupun menggunakan hand sanitizer.
Kami berpendapat bahawa langkah mengenakan PKP ketika Aidilfitri dan SOP yang tidak
membenarkan ziarah Hari Raya Aidilfitri kali ini bertepatan dan wajar bagi membendung
penularan kes seterusnya memutuskan rantaian jangkitan. Semoga dengan duduk di rumah dan menahan diri daripada bertandang menziarahi keluarga adalah sebahagian daripada tanda prihatin kita kepada orang-orang tersayang dan pengorbanan kita pada Aidilfitri kali ini.
Ibu bapa juga disarankan tidak mendesak anak-anak pulang beraya bahkan merelakan
sambutan kali ini tanpa kehadiran ahli keluarga yang berlainan isi rumah. Kesimpulannya, Ramadan bukan hanya mengajar kita untuk menahan diri dan nafsu bahkan menahan kita melakukan perkara-perkara lain yang ditegah.
Seharusnya, apa yang kita pelajari daripada bulan Ramadan ini dibawa kepada bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya. Anggaplah Covid-19 sebagai ujian daripada Allah. Anugerah dan kemenangan bakal kita nikmati setelah kita semua bebas daripada pandemik ini kelak.
Semoga pengorbanan yang besar ini memungkinkan kita dapat merasai nikmat Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bebas daripada pandemik Covid-19 pada tahun hadapan. Besar harapan kami agar semua SOP ini dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat, tanpa kompromi.
Penulis:
Prof Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia
&
Dr. Zahrah Tawil
Pengamal Perubatan
Kuala Lumpur