Home Ekonomi Ringgit dijangka diniagakan rendah minggu depan

Ringgit dijangka diniagakan rendah minggu depan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar AS  minggu depan antara paras 4.10 dan 4.15, sejajar dengan kebimbangan terhadap inflasi dan data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan pada Rabu.

Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley berkata, dengan pasaran yang bimbang terhadap inflasi, data tinggi IHP AS boleh merangsang lonjakan hasil bon AS dan meningkatkan dolar AS pada hari-hari yang akan datang.

“Dalam senario sedemikian, ringgit dijangka diniagakan rendah pada minggu depan walaupun cuti panjang akan mengekang jumlah dagangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata data IHP AS yang rendah akan mengurangkan tekanan inflasi, risiko dan dolar tetapi berpotensi sebaliknya sekiranya data tersebut tinggi.

Sementara itu, rakan pengurusan global SPI Asset Management Stephen Innes berpandangan dolar AS tidak akan mengukuh terlalu banyak berikutan landskap yang lebih meluas dengan Rizab Persekutuan menerajui faedah jangka pendek dan ia boleh mengehadkan penjualan ringgit.

“Bagaimanapun, sehingga kita melihat pandemik tempatan dapat dilandaikan, para pelabur akan terus mengelak daripada membeli unit tempatan,” katanya.

Namun begitu, katanya, ringgit kemungkinan boleh diniagakan lebih positif terutamanya dengan harga minyak sawit dan komoditi yang kukuh sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan efektif.

Beliau menjangkakan ringgit berlegar antara paras 4.11 dan 4.14 pada minggu depan.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), ringgit dijangka kekal terdedah kepada tempoh kemeruapan yang tinggi kerana momentum pemulihan ekonomi global dan domesti masih kekal tidak menentu.

Unit tempatan menyusut sebanyak 3.5 peratus berbanding dolar AS dalam suku pertama 2021, disebabkan terutamanya pengukuhan dolar AS yang turut menyebabkan penurunan mata wang pasaran negara maju dan pasaran sedang pesat membangun lain.

Bagi asas mingguan, ringgit turun berbanding dolar AS kepada 4.1230/1280 daripada 4.1100/1140 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan juga rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1023/1073 daripada 3.0870/0916 pada minggu sebelumnya dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7909/7966 daripada 3.7662/7702.

Unit tempatan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.8279/8353 daripada 5.7203/7267 pada Jumaat minggu sebelumnya dan turun berbanding euro kepada 5.0028/0102 daripada 4.9632/9697. – MalaysiaGazette