Home Sukan 147 pemain Malaysia lulus geran bantuan ‘FIFA Fund For Football Players’

147 pemain Malaysia lulus geran bantuan ‘FIFA Fund For Football Players’

Stuart Ramalingam.

KUALA LUMPUR – Seramai 147 orang bekas pemain dari lima pasukan bola sepak yang telah ditutup di negara ini diluluskan untuk menerima geran bantuan antara AS$1,227.67 (RM5,000) hingga AS$9,227.67 (RM38,000) setiap seorang daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berita baik itu dimaklumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam hari ini.

Menurut Stuart, kelulusan itu hadir menerusi program FIFA Fund For Football Players atau lebih dikenali sebagai FIFA FFP yang diwujudkan pada tahun 2020 menerusi kerjasama FIFA dan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro).

“Menerusi inisiatif berkenaan, permohonan daripada lebih 1,000 orang pemain di seluruh dunia membabitkan 109 kelab membabitkan 36 negara yang menganggotai badan kawal selia bolasepak dunia itu telah diluluskan geran dana itu termasuk 147 permohonan dari Malaysia iaitu bagi fasa pertama yang membabitkan tunggakan gaji dari Julai 2015 hingga Jun 2020.

“Permohonan bagi pemain-pemain dari Malaysia itu telah dibuat menerusi Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama Unit Undang-undang FAM yang menyerahkan keputusan kes tunggakan gaji daripada Jawatankuasa Status FAM dan termasuk juga kes yang telah diputuskan oleh FIFA.

“FAM turut memberikan pengesahan status pasukan atau kelab terbabit yang telah ditutup secara rasmi,” kata Stuart.

Menerusi dana FIFA FFP, tambah beliau, jumlah keseluruhan wang yang bakal diterima oleh 147 orang pemain dari Malaysia ialah sebanyak AS$456,214.48 (RM1.88 juta) iaitu 2.85 peratus daripada jumlah keseluruhan dana AS$16 juta (RM66 juta) bagi empat fasa sehingga penghujung 2022.

Stuart juga menjelaskan wang dana yang diluluskan FIFA itu membantu para pemain yang terkesan dengan tunggakan gaji yang gagal diselesaikan pasukan-pasukan mereka yang telah ditutup operasinya juga kepada PFAM yang telah memainkan peranan utama merealisasikan agenda ini bagi membolehkan pemain-pemain akhirnya akan dapat menerima sebahagian wang tunggakan tersebut.

Namun begitu katanya, penerimaan dana bukan bermaksud kes ini sudah selesai sepenuhnya memandangkan dana yang diterima hanyalah sebahagian dan masih terdapat baki tunggakan yang perlu diselesaikan.

“Oleh itu, FAM menyeru pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk tampil dan menyelesaikan baki tunggakan tersebut. Pada ketika ini, pihak PFAM sedang mengemas kini fakta kelulusan daripada FIFA dan FIFPro dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

“Untuk pengetahuan semua juga, FIFA akan mengkreditkan wang dana berkenaan ke akaun para pemain yang terlibat ini dalam kadar yang segera sebaik menerima maklumat akaun bank pemain,” tegas beliau.-MalaysiaGazette