Home Nasional Isteri lawat anggota SJR dikompaun RM2,000

Isteri lawat anggota SJR dikompaun RM2,000

Kes tular satu keluarga yang menziarahi suaminya yang juga anggota polis yang bertugas di Sekatan Jalan Raya 2 di Persiaran Selatan Menghala Keluar ke Dengkil di Putrajaya telah dikenakan kompaun.

KUALA LUMPUR – Kes tular satu keluarga yang menziarahi suaminya yang juga anggota polis yang bertugas di Sekatan Jalan Raya 2 di Persiaran Selatan Menghala Keluar ke Dengkil di Putrajaya telah dikenakan kompaun RM2,000.

Tindakan itu dikenakan bagi mengelak berlaku perkara yang sama dan tidak terus menjadi alasan ahli keluarga petugas barisan hadapan mengulanginya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, pada awal penularan gambar ahli keluarga itu menziarahi keluarganya pada sambutan Syawal pertama pada 13 Mei lalu, ia menerima pelbagai reaksi masyarakat di media sosial.

“Siasatan lanjut pada awal telah dijalankan dan hasil siasatan mendapati anggota tersebut dan keluarganya tinggal di dalam daerah Putrajaya.

“Isteri dan anak-anak anggota tersebut telah datang menaiki dua buah kenderaan yang berbeza untuk singgah sebentar bagi menyerahkan juadah Hari Raya Aidilfitri kerana suami bertugas pada pagi hari raya pertama.

“Bagi dakwaan menaiki kenderaan melebihi had tiga orang untuk sebuah kenderaan, tiada kompaun yang dikeluarkan kerana mereka menaiki dua buah kenderaan berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Keluarga polis hantar juadah tak langgar SOP

Bagaimanapun, Mohd Fadzil berkata, polisĀ  semalam telah mengeluarkan satu kompaun RM2,000 kepada isteri anggota tersebut di bawah Peraturan 21 (PU A 225/20212) Ziarah Hari Raya Aidilfitri (No 21 Kesalahan-Kesalahan Lain yang Diperuntukkan Dalam SOP Yang Dikeluarkan oleh MKN) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 kerana pelanggaran SOP PKP dengan menziarahi suami di SJR.

“Pada awalnya, perbuatan tersebut dilihat sebagai satu tanggungjawab isteri untuk memberi sokongan moral kepada suami yang sedang bertugas dengan menghantar juadah di pagi raya.

“Namun, kepentingan awam adalah melebihi kepentingan individu dan pihak polis tidak mahu perbuatan sedemikian dijadikan alasan oleh semua ahli keluarga petugas untuk melawat keluarga yang bertugas di lapangan pada hari raya atau pun hari biasa.

“Pihak polis tidak berkompromi sekiranya wujud sebarang pelanggaran SOP PKP dan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira sama ada orang awam mahu pun anggota PDRM sendiri,” tegasnya.-MalaysiaGazette