Home Sukan Leicester julang Piala FA pertama dalam tempoh 137 tahun

Leicester julang Piala FA pertama dalam tempoh 137 tahun

Foto Agensi.

LONDON – Leicester City mencipta sejarah dalam tempoh 137 tahun kelab itu selepas menumpaskan Chelsea 1-0 pada perlawanan Piala FA di Wembley hari ini.

Kemenangan itu hasil jaringan sensasi Youri Tielemans selepas lima tahun selepas The Foxes melakar sejarah muncul juara Liga Perdana Inggeris dalam penampilan sulungnya pada saingan utama.

Perlawanan tersebut juga mencatat kehadiran penonton terbesar seramai 22,000 orang dalam acara sukan di England sejak pandemik Covid-19 menyerang dunia sejak 14 bulan lalu.

Penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel cemerlang menyelamatkan percubaan bahaya Mason Mount pada lewat permainan, malah jaringan Chelsea turut dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) selepas didapati ofsaid.

Leicester sebelum ini kalah empat kali selepas melangkah ke perlawanan akhir, namun semua kekalahan itu hadir 52 tahun yang lalu.

Leicester kini bakal berdepan dua lagi tugas berat pada baki saingan Liga Perdana untuk mengesahkan diri dalam kelompok empat terbaik.

Mereka akan menentang Chelsea sekali lagi di Stamford Bridge, Rabu ini sebelum menutup kempen dengan berdepan Tottenham, Ahad depan.

Selepas 36 perlawanan, Leicester mengumpul 66 mata, dua mata mengatasi Chelsea yang menduduki tangga keempat, manakala Liverpool dengan 60 mata di tempat kelima dan memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan. – MalaysiaGazette