PETALING JAYA – Spekulasi mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor seperti semasa PKP 1.0 telah tersebar melalui aplikasi WhatsApp.
Menurut mesej yang tular itu, kerajaan negeri masih berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai penutupan aktiviti ekonomi yang mungkin berlaku seawal minggu depan.
Sinchew Daily melaporkan, walaupun Shah Alam pernah mencadangkan kepada Putrajaya untuk melakukan kawalan penuh termasuk menghentikan aktiviti ekonomi seperti semasa PKP 1.0 selama sebulan di Selangor, tetapi cadangan itu ditolak Kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, Putrajaya memilih membenarkan aktiviti ekonomi “separuh buka” dalam PKP 3.0 yang sedang dijalankan.
Menurut sumber, kerajaan negeri tidak berkuasa membuat keputusan mengenai kawalan pergerakan dan cadangannya mengenai “kawalan penuh” juga tidak direstui Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan yang bimbang impak teruk kepada ekonomi dan kemunculan gelombang pengangguran.
Difahamkan, selain Selangor, kerajaan negeri Kelantan juga pernah mencadangkan “kawalan penuh” mirip PKP 1.0, tetapi Putrajaya berpendapat cadangan itu tidak perlu dilaksanakan.
Sumber berkata, Putrajaya mempertimbangkan kemungkinan pendapatan ramai rakyat akan terjejas yang seterusnya memerlukan bantuan daripada kerajaan.
Katanya, walaupun PKP 2.0 sebelum ini kurang berkesan, tetapi Putrajaya nampaknya tidak merestui kawalan lebih ketat, mungkin kerana bimbang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat, terutamanya kerana pilihan raya mungkin diadakan pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette
Putrajaya sudah gagal tetapi mahu kekal memerintah tanpa Parlimen. Situasi memerintah tanpa Parlimen ni nak sampai bila?, sampai kiamat!