Home Nasional 30 pasar awam dalam radar pemantauan ketat MBSP

30 pasar awam dalam radar pemantauan ketat MBSP

Rozali (kiri) ketika melakukan pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Bagan Ajam, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sedang memantau 30 pasar awam membabitkan tiga daerah di bawah kendaliannya.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pemantauan itu dilakukan sebagai langkah menangani penularan wabak Covid-19.

Jelas beliau, tindakan penutupan pasar awam akan dilakukan sekiranya peniaga serta pengunjung gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Rozali.

“Pelbagai nasihat dan amaran sudah diberikan selama ini dan jika masih berlaku pelanggaran SOP maka tindakan penutupan serta-merta akan diambil,” katanya pada kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Rozali bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo mengadakan pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Bagan Ajam di sini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.

Rozali (kanan) melakukan pemeriksaan mengejut bersama Jagdeep di Pasar Awam Bagan Ajam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rozali berkata, MBSP akan memasang kawat berduri di enam pasar awam di kawasan Seberang Perai yang dikenalpasti mempunyai masalah laluan tikus.

Antara pasar awam yang dikenal pasti ialah  Pasar Awam Kepala Batas, Pasar Awam Bagan Ajam, Pasar Awam Taman Selamat, Pasar Awam Taman Berjaya, Pasar Awam Tambun Indah, dan Pasar Awam Sri Uda.

“Walaupun laluan khas dibuat sebagai jalan keluar masuk ke pasar awam tertentu, namun masih ada segelintir pihak yang menggunakan laluan tikus untuk masuk ke pasar terbabit.

“Buat masa ini, pemasangan kawat berduri di Pasar Awam Kepala Batas sudah selesai dan lain-lain pasar awam di dalam senarai akan dipasang dalam masa terdekat,” ujar Rozali. – MalaysiaGazette