GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengharamkan penjualan pelitup muka yang mengandungi nanopartikel graphene yang berbahaya kepada kesihatan pengguna.
Graphene adalah novel nanomaterial yang merangkumi zarah halus dengan sifat antivirus dan antibakteria.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat susulan tindakan kerajaan Kanada melarang penggunaan pelitup muka mengandungi bahan tersebut yang berkemungkinan berisiko menyedut partikel graphene.
Katanya, pelitup muka mengandungi graphene dikenalpasti mempunyai lapisan berwarna gelap pada bahagian dalam pelitup muka berkenaan yang berpotensi menyebabkan keracunan paru-paru pada haiwan.
“Meskipun potensi risiko kesihatan, berjuta pelitup muka yang mengandungi nanographene dihasilkan setiap hari dan dijual di seluruh dunia.
“Apabila digunakan dalam pelitup muka, lapisan nanographene berfungsi melindungi pengguna daripada partikel dalam udara, dengan menghirisnya apabila disedut melalui lapisan graphene.
“Namun apabila pelitup muka itu lusuh, serpihan nanographene mengelupas dan boleh disedut ke dalam paru-paru menyebabkan kesukaran bernafas, kerengsaan kulit atau merasa seperti bernafas dalam bulu kucing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohideen berkata, Center for International Environmental Law (CIEL) bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa sudah menulis surat kepada pihak berkuasa di Eropah.
Katanya, ia bagi meminta pihak berkenaan mengeluarkan pelitup muka mengandungi nanopartikel daripada pasaran dan mengharamkan penjualan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) mengandungi bahan nanoform yang tidak dibenarkan dalam pasaran Kesatuan Eropah (EU).
“Memandangkan memakai pelitup muka adalah barisan pertahanan kritikal dalam melawan Covid-19 dan penyakit bawaan udara lain, kehadiran nanopartikel dalam pelitup muka tidak seharusnya menjadi risiko kesihatan tambahan kepada pengguna.
“Sehubungan itu, kerajaan digesa supaya menetapkan piawaian bagi pelitup muka dan pengguna perlu mengambil iktibar berhubung perkara ini,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette