Home Nasional Kematian Siti Khodijah diklasifikasikan sebagai mati mengejut

Kematian Siti Khodijah diklasifikasikan sebagai mati mengejut

Adzli Abu Shah.

SUNGAI PETANI – Kematian Siti Khodijah Ab Manaf yang didakwa mangsa dera suaminya pada Jumaat lalu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan doktor mengesahkan tidak ada kesan kecederaan baharu atau lama akibat dipukul pada anggota badan wanita berusia 31 tahun itu.

Jelas beliau, pemeriksaan juga mendapati tiada kecederaan serius pada bahagian anggota badan lain, selain kesan lebam akibat jarum daripada rawatan memasukkan ubat-ubatan pada badannya.

“Pemeriksaan lanjut pada paru-paru mangsa pula mendapati kesan jangkitan kuman yang serius akibat rawatan memasukkan tiub ketika pembedahan dijalankan.

“Selain itu, mangsa juga turut menghidap penyakit SLE yang mana tekanan darah boleh naik ke bahagian kepala yang boleh menyebabkan saluran darah pecah.

“Jadi setakat ini, kita klasifikasikan kematian wanita itu sebagai SDR sementara menunggu laporan Jabatan Kimia untuk mengetahui punca kematian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, proses bedah siasat mayat mangsa dilakukan bermula jam 11 pagi hingga 2.30 petang pada Sabtu lalu di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

ARTIKEL BERKAITAN : Dakwaan isteri mati didera suami, polis tunggu laporan hospital

MalaysiaGazette pada Jumaat lalu melaporkan, polis kini sedang menunggu laporan perubatan berhubung kematian seorang wanita hari ini yang didakwa mangsa dera suaminya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, berdasarkan siasatan awal, Siti Khodijah Ab Manaf, 31, dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar pada 19 April lalu dan pihak doktor mengesahkan pembuluh darah di kepalanya bengkak dan pecah serta perlu menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim di sini selepas koma hampir 26 hari.

Arwah meninggalkan empat anak berusia dua hingga lapan tahun yang kini dijaga nenek mereka di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir, di sini.

Terdahulu tular beberapa keping gambar mangsa di Facebook mengatakan mangsa meninggal dunia akibat didera suami dan orang ramai diminta menghulurkan bantuan untuk anak-anaknya. – MalaysiaGazette