KUALA LUMPUR – Saksi ke-10 perbicaraan kes penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendakwa dirinya pernah mahu untuk meninggalkan syarikat itu.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman, dirinya menyedari berlakunya salah laku dan penyewelengan (aktiviti haram) namun tidak berani bersuara.
Dakwanya, dirinya tidak terdaya pada awal kerana telah diminta untuk tinggal dan berkhidmat untuk syarikat berkenaan.
Malah dakwa Mohd Hazem percaya aktiviti menggunakan dana 1MDB dilakukan oleh ahli perniagaan dalam buruan bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, peguambela, Wan Aizuddin Wan Mohammed ketika menyoal balas saksi mendakwa hakikatnya Mohd Hazem hendak meletak jawatan dan meninggalkan 1MDB kerana dirinya telah diturunkan pangkat dan CEO baharu telah dibawa masuk ketika itu.
Ketika soal balas hari ini, sekali lagi Mohd Hazem mendakwa dirinya tidak berupaya untuk menyoal sebarang salah laku atau penyewelengan sebaliknya hanya bekerja atau tinggalkan syarikat tersebut.
Kata Mohd Hazem juga, beliau sebaliknya telah menyatakan rasa bimbang dengan apa yang berlaku dalam 1MDB kepada Pengerusi 1MDB ketika itu iaitu Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin juga kepada Allahyarham Datuk Azmin Alias.
Wan Aizuddin: Jika anda curigai Perdana Menteri ketika itu (Najib Razak) ada terlibat dengan skim jahat Jho Low, adakah anda tidak rasa bertanggungjawab untuk hubungi Perdana Menteri dan jelaskan apa yang sedang berlaku?
Mohd Hazem: Tidak.
Wan Aizuddin: Sebab sebenar ialah anda sendiri bersama-sama dengan Jho Low dalam agenda, itu sebab mengapa anda tidak bercakap dengan Datuk Seri Najib.
Mohd Hazem: Tidak. Saya tidak setuju.
Sebelum ini ketika memberikan keterangan pada bulan Februari lepas, Mohd Hazem pernah disoal bertalu-talu oleh peguambela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengapakah saksi yang berjawatan tinggi serta mendapat gaji begitu lumayan hanya mendiamkan diri sahaja.
Mohd Hazem ketika itu memaklumkan semua arahan daripada Jho Low terpaksa diikuti kerana mengikut pandangannya, itu adalah ‘arahan’ Perdana Menteri ketika itu.
Malah kata Mohd Hazem mendakwa dirinya tidak dapat membuka mulut atau mendedahkan sebarang kepincangan dalam 1MDB kerana Najib adalah Perdana Menteri ketika itu.
Untuk rekod, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berhadapan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Prosiding dihadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung Rabu memandangkan esok adalah pendengaran kes rayuan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Rayuan juga membabitkan Najib.
Rabu ini juga Collin hanya membenarkan menghadiri perbicaraan kes jenayah berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam kes dokumen palsu terhadap bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony.
Pada awalnya Muhammad Shafee meminta penangguhan supaya Najib boleh menjadi saksi kepada kes tersebut namun Collin hanya membenarkan beberapa jam dan perlu menyambung perbicaraan 1MDB pada hari sama. -MalaysiaGazette