KUALA LUMPUR – Tiga lagi kes Covid-19 melibatkan varian baharu iaitu dari India B.1.617.2. dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ia melibatkan dua kes yang dikesan menerusi saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) manakala satu kes dikesan berdasarkan pesakit yang mempunyai gejala.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes mempunyai sejarah perjalanan ke India.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) yang telah dikesan di negara adalah sebanyak lima kes,” katanya menerusi kenyataan hari ini,
Sementara itu, Hisham memaklumkan kewujudan tujuh lagi kes Variant of Concern (VOC).
Empat daripadanya kes yang dijangkiti varian South African B.1.351, dikesan di Kuala Lumpur.
Manakala tiga lagi kes dalam kalangan bukan warganegara dijangkiti varian Indian B.1.617 (sublineage B.1.617.2).
Menurut beliau, sehingga kini jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dijangkiti oleh varian South African B.1.351 adalah sebanyak 66 kes dan varian Indian B.1.671 termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2 adalah sebanyak lima kes.
KKM juga memaklumkan kerajaan telah melanjutkan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari kepada pengembara dari negara-negara dengan penularan VOC dalam komuniti sejak 28 April lalu dan mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari negara India sejak 7 Mei lepas berikutan penularan varian VOC yang semakin membimbangkan.
KKM akan meneruskan pemantapan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk survelan epidemik, ujian saringan Covid-19 yang strategik, melakukan pengesanan kontak dan melakukan langkah-langkah kesihatan awam bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti.- MalaysiaGazette