KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyasarkan untuk mengutip sejumlah RM100,000 untuk disalurkan melalui inisatif Aid4APalestine.
Bagi tujuan tersebut, pelbagai program dan inisiatif akan menyusuli termasuklah gerakan mengutip dana bagi membantu misi kemanusiaan dan pembinaan semula fasiliti di Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza.
“Kami berharap semua lapisan masyarakat tanpa mengira sempadan agama dan bangsa akan bersama-sama turut membantu menjayakan usaha ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam YADIM mengambi inisiatif untuk menganjurkan program bicara Wake Up 4 Aqsa yang telah dilancarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Zulkifli Mohamad Al Bakri.
“Program ini akan menjadi titik mula kepada gerakan YADIM untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia dan menunjukkan solidariti kepada saudara-saudari kita di Palestin yang sedang ditindas secara ganas dan tidak berperi kemanusiaan oleh rejim zionis Israel.
“Kekejaman yang dilakukan oleh rejim yang zalim dalam tempoh seminggu ini bukanlah satu perkara yang baharu bahkan telah berlanjutan selama lebih tujuh dekad,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Dalam tempoh tersebut jutaan penduduk Palestin telah terkorban, kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
Lebih menyedihkan dan membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia serta seluruh dunia adalah apabila Masjid Al-Aqsa yang menjadi qiblat pertama umat Islam telah dicerobohi dan diperlakukan dengan perbuatan yang biadap dan menghina oleh rejim haram ini.
“Sesungguhnya kezaliman yang berpanjangan ini bukan lagi menjadi konflik antara agama namun telah lama menjadi jenayah kemanusiaan.
“Kelesuan komuniti antarabangsa terutamannya dalam kalangan negara Arab untuk mengambil sebarang langkah yang konstruktif bagi menghentikan episod derita penduduk Palestin sewajarnya tidak dibiarkan berpanjangan,” katanya.
Sebagai sebuah yayasan dakwah, YADIM akan menggerakkan segala usaha untuk menyuburkan kefahaman, menyegarkan aspirasi idealisme, menyebarkan mesej perjuangan dan mengangkat naratif akidah serta kemanusiaan dalam isu Palestin ini.
YADIM akan melibatkan pelbagai pihak termasuklah agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, jaringan akademik dan tokoh perseorangan dalam kempen jangka masa sederhana dan panjang agar isu Palestin akan sentiasa relevan dan tersemat dalam hati nurani rakyat Malaysia yang cinta kepada kedamaian. – MalaysiaGazette