WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyuarakan sokongannya supaya gencatan senjata antara Israel dan Palestin selepas serangan berlaku selama lapan hari di Gaza.
Biden memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa Amerika Syarikat (AS) bekerjasama dengan Mesir dan negara-negara lain untuk menghentikan permusuhan tersebut.
Tetapi AS sekali lagi menyekat kenyataan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meminta menghentikan keganasan.
Konflik yang berlarutan minggu kedua, tidak menampakkan tanda-tanda akan berakhir.
Sekurang-kurangnya 212 orang, termasuk 61 kanak-kanak maut di Gaza manakala 10 orang, termasuk dua kanak-kanak mati di Israel.
Israel mengatakan kebanyakan mereka yang terbunuh di Gaza adalah pejuang Hamas dan kematian orang awam adalah tidak disengajakan.
Tetapi Hamas mempertikaikan dakwaan Israel.
Menurut White House, Biden ‘mendorong’ Israel untuk melakukan segala usaha bagi memastikan perlindungan orang awam yang tidak bersalah.
“Kedua-dua pemimpin membincangkan kemajuan dalam operasi ketenteraan Israel terhadap Hamas dan kumpulan pengganas lain di Gaza,” tambahnya.
Biden ‘menyatakan sokongannya untuk gencatan senjata dan membincangkan penglibatan AS dengan Mesir dan rakan-rakan lain untuk mencapai tujuan itu’, katanya.
Keganasan itu mendorong kebimbangan yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa.
Para pemimpin dunia dan organisasi kemanusiaan telah meminta langkah-langkah untuk mencegah kematian penduduk dan kekacauan yang disebabkan oleh pemusnahan bangunan dan infrastruktur.
Ia merupakan kali ketiga AS menghalang usaha Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengeluarkan kenyataan meminta Israel menghengtikan operasi ketenteraan dengan menekankan usaha diplomatiknya sendiri.
“Perhitungan kami pada ketika ini adalah melakukan perbincangan di belakang tabir adalah pendekatan paling konstruktif yang dapat kita ambil,” kata jurucakap White House, Jen Psaki kepada wartawan.
Di United Kingdom, jurucakap Perdana Menteri, Boris Johnson mengatakan Israel mesti menghindari korban awam, tetapi menyatakan kebimbangan ‘Hamas sekali lagi menggunakan infrastruktur dan penduduk awam sebagai perlindungan untuk operasinya’. – MalaysiaGazette
Badut2 PBB telah memberikan lesen besar untuk membunuh orang2 awam Palestine?