Home Nasional Kesesuaian panjangkan selang tempoh dua dos vaksin dinilai JKPCV

Kesesuaian panjangkan selang tempoh dua dos vaksin dinilai JKPCV

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin Covid-19 (JKPCV) sedang menilai kesesuaian mekanisme memanjangkan selang masa antara dua dos vaksin Covid-19 seperti mana yang dipertimbangkan oleh negara-negara lain.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, penilaian itu dilakukan Dr. Kalaiarasu Peariasamy juga sedang menilai kesesuaian mekanisme ini berdasarkan penemuan serta hasil pelaksanaannya di negara lain di samping mendapatkan maklum balas daripada syarikat pengeluar vaksin.

Keputusan lanjut berkaitan perkara itu akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa.

Selang masa antara dos bagi vaksin Covid-19 yang digunakan di Malaysia telah ditetapkan menerusi maklumat serta data yang telah dihantar oleh syarikat pengeluar vaksin kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Sebagaimana kelulusan bersyarat yang diberikan kepada semua vaksin Covid-19 yang digunakan di Malaysia, syarikat pengeluar vaksin boleh serta perlu menghantar maklumat serta perkembangan apabila terdapatnya data-data terkini daripada penggunaan vaksin keluaran mereka.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menasihati orang ramai agar terlebih dahulu menyemak status risiko Covid-19 diri di aplikasi MySejahtera sebelum datang ke PPV bagi mendapatkan vaksin.

Beliau berkata, individu dengan status kes yang disahkan, kes suspek, kontak rapat dan individu dalam pemantauan tidak dibenarkan hadir serta masuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Tambahnya, penerima vaksin juga diingatkan agar tiba ke PPV mengikut slot masa yang telah diberikan dan diminta untuk tidak hadir terlalu awal bagi mengelakkan kesesakan seperti mana yang telah berlaku dalam beberapa hari ini.

Penerima vaksin hanya akan dibenarkan masuk ke PPV mengikut waktu yang ditetapkan, katanya dalam kenyataan.

Menurut Khairy, sekiranya seseorang individu yang telah menerima janji temu tidak dapat hadir, janji temu baharu akan diberikan pada suatu tarikh lain yang akan ditentukan.

Setiap PPV mempunyai senarai menunggu yang akan dihubungi bagi menggantikan mana-mana ketidakhadiran untuk mengurangkan risiko pembaziran vaksin, ujarnya. – MalaysiaGazette