Home Seni Hidup Neelofa, keluarga ziarah di Aidilfitri, langgar SOP?

Neelofa, keluarga ziarah di Aidilfitri, langgar SOP?

Foto Instagram Noor Nabila.

KUALA LUMPUR –  Selebriti popular, Neelofa kembali mencetuskan kontroversi apabila dia didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri dengan menyambut hari raya bersama lebih 10 ahli keluarganya di sebuah kediaman di Ampang pada 13 Mei lalu.

Kontroversi itu mula viral selepas kakak Neelofa iaitu Noor Nabila memuat naik  sebuah video di dalam laman Twitter.

Video berdurasi 27 saat tersebut terus dikongsi netizen sejak tengah hari semalam dan tular.

Menerusi video dengan kapsyen `1 Syawal yang penuh mulia’ tersebut kelihatan  ahli keluarga Neelofa berkumpul pada pagi Syawal dan bersalaman satu sama lain.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, memutuskan umat Islam tidak dibenarkan kunjung-mengunjung pada Hari Raya Aidilfitri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keputusan tersebut juga telah menyebabkan, isteri kepada seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya dikenakan kompaun RM2,000 kerana menghantar juadah untuk suami yang bertugas dalam daerah sama.

Sebelum ini, Neelofa pernah mencetuskan kontroversi selepas melanggar SOP dengan merentas negeri ke Pulau Langkawi di Kedah dan Nilai, Negeri Sembilan bersama suaminya, Haris Ismail.

Susulan kes baharu tersebut, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak  dalam satu kenyataan berkata, majlis tersebut disyaki berlangsung di kediaman selebriti tersebut di Hulu Kelang, Ampang.

Sehubungan itu, menurut beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya telah menerima laporan polis berkaitan isu terbabit dan siasatan akan dijalankan di bawah Peraturan 17 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Kita akan memanggil yang terlibat dalam aktiviti beraya itu untuk diambil keterangan,” kata beliau. – MalaysiaGazette