KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan penularan varian baharu virus SARS-CoV-2 di dalam komuniti terutamanya kemunculan beberapa Variant of Concern (VOC) dalam negara sejak kebelakangan ini akan melonjakkan lagi kes positif harian Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham berkata, apa yang pasti peningkatan kes secara mendadak ini memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara.
“Ini adalah kerana varian-varian VOC ini dikaitkan dengan kadar penularan yang lebih cepat dengan kadar kematian yang lebih tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama Dr. Noor Hisham turut menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan sokongan alat bantuan pernafasan sejak kebelakangan ini.
“Negara masih kekal merekodkan kes harian Covid-19 melebihi empat digit dengan kes aktif ketika ini sudah melebihi 40,000 kes.
“Kebanyakan hospital kerajaan mahupun swasta, serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara juga telah hampir mencecah kapasiti maksimum,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya orang ramai melakukan kawalan pergerakan kendiri terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Ujar Noor Hisham, majikan juga digalakkan untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan menghadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu masa.
KKM hari ini merekodkan sebanyak 47 kematian, rekod tertinggi selain 531 kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 277 kes memerlukan bantuan pernafasan.-MalaysiaGazette