Home Nasional PKP menyeluruh boleh kurangkan jangkitan Covid-19 di Selangor

PKP menyeluruh boleh kurangkan jangkitan Covid-19 di Selangor

AMPANG – Rakyat menyambut baik cadangan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berskala penuh di negeri Selangor.

Ia setelah mengambil kira PKP pernah dilaksanakan di seluruh negara dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada Mac tahun lepas yang berjaya mengurangkan kes jangkitan Covid-19.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Ampang hari ini mendapati rata-rata masyarakat setempat berpendapat cadangan pelaksanaan PKP berskala penuh tepat pada masanya.

Menurut Mohamad Shah Rizan Mohd Som, 41, keberkesanannya dapat dilihat apabila negara pernah mencatatkan sifar kes positif Covid-19 pada tahun lalu.

“Dulu PKP 1.0 semua boleh duduk di rumah. Kenapa sekarang tak nak pula? Ini masa untuk rakyat bertindak juga (patuh SOP)”, katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Temubual bersama penduduk, Daniel, 69 mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan secara menyeluruh di Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 MEI 2021.

Daniel, 69, pula, total lockdown merupakan penyelesaian terbaik kerajaan buat masa ini.

Ini kerana terdapat segelintir rakyat yang mengambil mudah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sehingga mengakibatkan penularan virus itu, ujarnya.

“Sekarang ramai orang tak ikut SOP, jadi ‘total lockdown adalah paling sesuai,” katanya.

Namun, ada juga yang berpendapat kerajaan harus mengekalkan sahaja penguatkuasaan SOP sedia ada.

Temubual bersama penduduk, Mohd Danial Abdullah, 18 mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan secara menyeluruh di Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 MEI 2021.

Mohd Danial Abdullah, 18, berpendapat kerajaan hanya perlu menambahbaik penguatkuasaan SOP untuk mengekang peningkatan penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Disebabkan pelaksanaan PKP, masa raya, nak kunjung ke kubur pun tak boleh. Rakyat ramai terkilan”, jelas Mohd Danial.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sedang mempertimbang untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat atau perintah kawalan pergerakan berskala penuh (PKP) di Selangor jika negeri itu gagal mengekang Covid-19.

Selangor merekodkan 10,393 kes jangkitan Covid-19 sepanjang minggu lalu sahaja, sekali gus merupakan negeri tertinggi dengan jangkitan virus tersebut di Malaysia. – MalaysiaGazette