Home Sukan Siapa mahu Sandro, ambillah percuma – Sarawak United

Siapa mahu Sandro, ambillah percuma – Sarawak United

Sandro (tengah). Foto Facebook Sarawak United FC Official.

KUALA LUMPUr – Sarawak United dilaporkan sanggup melepaskan pemain import, Sandro Da Silva secara percuma selepas pihak pengurusan kecewa dengan tindakan pemain dari Brazil itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais berkata, tindakan Sandro yang mewar-warkan isu tunggakan gaji dianggap tidak wajar dan Sarawak United sedia untuk berpisah dengan pemain itu.

“Boleh pastikan dengan pemain-pemain lain, gaji yang tertunggak ialah sejak April lalu dan bulan ini,” katanya menurut laporan Stadium Astro.

Sebelum ini, Sandro Da Silva mendakwa tidak menerima gaji penuh sejak Januari lalu apabila hanya menerima 70 peratus gaji dua bulan pertama, iaitu pada Januari dan Februari sebelum langsung tidak dibayar apa-apa untuk bulan berikutnya.

Terkilan dengan tindakan Sandro, Posa sedia melepaskan pemain itu secara percuma tanpa sebarang yuran perpindahan pada jendela perpindahan kedua musim ini.

“Terserah kepada jurulatih kerana kalau ikutkan hati, saya memang tidak mahu tengok muka dia lagi. Kalau hendak kekal, dia perlu tunjukkan prestasi baik.

“Kalau betul kelab luar nak ambilnya, saya beri percuma sahaja cuma bayar gaji sebulannya yang tertunggak. Soal yuran perpindahan saya sedekahkan sahaja,” tambahnya. – MalaysiaGazette