Home Nasional ‘Tempoh ini amat menguji saya dan keluarga, hanya mampu berdoa ke hadrat...

‘Tempoh ini amat menguji saya dan keluarga, hanya mampu berdoa ke hadrat Ilahi’ – Najib

KUALA LUMPUR – Perbicaraan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) RM42 juta menguji Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya.

Bagaimanapun menurut bekas Perdana Menteri itu, ia tidak sedikit pun mematahkan harapannya untuk terus berjuang membersihkan namanya dalam prosiding rayuan SRC yang sahaja selesai pada hari ini.

Najib yang ditemui selepas prosiding rayuan tamat melahirkan penghargaan tidak terhingga kepada para pengamal media dengan harapan setiap maklumat yang disalurkan dapat disampaikan dengan betul dan tepat bagi membolehkan rakyat menilai prosiding yang berlangsung selama 15 hari.

“Kedua, saya hendak nyatakan penghargaan kepada pasukan peguam saya, mereka telah lakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh dengan waktu yang cukup terbatas memandangkan ada kes-kes lain berjalan hampir serentak.

“Saya doakan keadilan akan timbul dan saya dapat peluang untuk bersihkan nama saya, sudah tentu tempoh ini amat menguji saya dan keluarga, saya hanya mampu berdoa ke hadrat Ilahi, InsyaAllah apa kita harapkan akan jadi kenyataan,” katanya.

Pada 28 Julau tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib setelah mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Pasukan peguambela yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyelesaikan hujah mereka di hadapan panel tiga hakim pada petang ini.

Panel hakim berkenaan yang dipengerusikan hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil akan menetapkan keputusan pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Panel hakim lain yang bersidang mendengar rayuan bekas Perdana Menteri itu ialah Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera. – MalaysiaGazette