Home Nasional Atasi masalah sistem saliran sawah di Kangar – CAP

Atasi masalah sistem saliran sawah di Kangar – CAP

Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis mengambil tindakan segera dan berkesan bagi mengatasi masalah sistem saliran di kawasan sawah membabitkan lima buah kampung di Kangar.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Alor Banat, Kampung Teluk, Kampung Seri Gelam, Kampung Sungai Bakong dan Kampung Sena.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, langkah tersebut wajar dilakukan susulan masalah sistem saliran di kawasan tersebut menjejaskan kehidupan pesawah sejak sekian lama.

“Masalah ini berlaku didakwa susulan projek pembinaan ampang yang rendah di Sungai Perlis dekat Pengkalan Asam sekali gus menyebabkan air hujan bertakung dan lambat surut.

“Implikasinya, benih padi yang ditabur oleh pesawah-pesawah di sini musnah dan mereka terpaksa mengeluarkan modal yang besar bagi meneruskan aktiviti penanaman pada musim ini,” katanya.

Beliau mengulas berhubung dakwaan kira-kira 500 pesawah di kawasan tersebut mengeluh kerana 896 hektar sawah yang mereka usahakan musnah ditenggelami air ketika hujan kerana sistem saliran gagal berfungsi dengan berkesan.

Menurut Mohideen,  pihak CAP bimbang jika masalah itu dibiarkan berlarutan ia boleh menjejaskan sumber pendapatan pesawah terbabit.

“Kita harap pihak kerajaan membantu pesawah-pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana ini bagi meringankan beban kehidupan yang terpaksa ditanggung,” ujar beliau. – MalaysiaGazette