SEREMBAN – Dua lelaki dikompaun RM5,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran polis di pantai Port Dickson di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata kedua-dua mereka gagal mengemukakan surat kebenaran atau apa-apa dokumen berkaitan ketika rondaan polis dalam operasi pematuhan SOP PKP di pantai itu kira-kira 4 petang.
“Kompaun itu dikeluarkan kepada lelaki berumur 33 tahun di kawasan parkir Pantai Dataran Kemang kerana telah merentas dari Seremban ke Port Dickson manakala seorang lagi berusia 29 tahun dari Sungai Udang, Melaka dikompaun di Pantai Cahaya Negeri, di sini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas Aidi Sham, polis memandang serius sebarang pelanggaran SOP yang ditetapkan kerajaan dalam mengawal jangkitan pandemik COVID-19 selain menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP sepanjang tempoh PKP hingga 7 Jun ini.
— BERNAMA