Home Ekonomi Kempen Ketahanan Kewangan dengan Chief BerUang

Kempen Ketahanan Kewangan dengan Chief BerUang

KUALA LUMPUR – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) memulakan permulaan Kempen Ketahanan Kewangannya dengan menampilkan Chief BerUang.

Beruang matahari Borneo salah satu daripada haiwan rentan Malaysia yang disenaraikan oleh IUCN (International Union for Conservation of Nature’s Red List of Threatened Species) dipilih sebagai Chief Beruang bagi menyokong usahanya meningkatkan daya tahan kewangan rakyat Malaysia di media sosial.

Kempen itu bermula dengan siri video animasi menampilkan Chief BerUang, sebagai hos rancangan bual bicara mengenai pengurusan kewangan yang bijak.

Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM berkata, tingkah laku pengurusan kewangan yang baik, seperti tabiat menyimpan dan memperuntukkan dana kecemasan, akan membantu rakyat Malaysia bagi tempoh jangka panjang dalam menghadapi pelbagai kesukaran hidup.

Chief BerUang adalah ikon terbaik untuk menyampaikan mesej mengenai pengurusan kewangan yang bijak dengan cara yang menghiburkan kepada audiens media sosial.

”Chief BerUang merupakan program pertama daripada pelbagai program yang dirancang di bawah Kempen Ketahanan Kewangan PIDM 2021.

”Dalam masa terdekat, orang ramai boleh menyertai webinar dan perbincangan panel secara maya mengenai pengurusan kewangan, cabaran simpanan 21 hari serta pelbagai aktiviti yang menawarkan hadiah menarik untuk dimenangi,” ujar Rafiz.

Pada masa yang sama, PIDM juga telah mengambil lima ekor beruang matahari (tiga jantan dan dua betina) di Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (BSBCC), Sabah sebagai haiwan angkat.

Komitmen selama setahun daripada PIDM ini akan membantu BSBCC meneruskan usaha pemuliharaannya. – MalaysiaGazette