PENULARAN penyakit Covid-19 semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Bilangan pesakit kian meningkat mencecah 5000 kes sehari. Bilangan kematian juga semakin bertambah dengan bilangan kematian tidak kurang daripada dua angka saban hari.
Kemunculan varian baharu yang lebih ganas dan agresif lebih menakutkan disebabkan oleh ciri-ciri varian baharu atau lebih dikenali sebagai variant of concern (VOC) yang seperti berikut:
1. Mampu tersebar lebih pantas dan dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi
2. Kebanyakan pesakit tidak menunjukkan apa-apa gejala seperti batuk dan selsema
3. Pesakit mungkin mengalami sakit sendi, merasa lemah dan lesu serta kekurangan selera makan
4. VOC merebak terus ke paru-paru dan tanda-tanda radang hanya dapat dikenalpasti
dengan menggunakan X-ray
5. Proses saringan biasanya menunjukkan keputusan yang negatif walaupun pesakit
sudah di tahap yang serius
6. Gelombang kali ini lebih berbahaya berbanding dengan yang sebelumnya.
VOC yang telah dikenalpasti berada di negara kita termasuklah South African (B1.351),
United Kingdom (B.117) dan Indian (B1.617.1). VOC ini telah memasuki negara kita melalui pesakit yang terdiri daripada mereka yang pulang daripada negara yang telah dijangkiti dengan varian ini.
Seperti yang kita semua ketahui, pihak Kerajaan Malaysia telah menjalankan pelbagai
langkah untuk menyekang penularan pandemic COVID-19 ini sejak ianya bermula tahun
lepas dan telah menyaksikan pengurangan kes secara berkesan.
Walau bagaimanapun, setelah kes meningkat semula bermula bulan Disember 2020 tanpa tanda-tanda pengurangan bilangan kes, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibantu dengan agensi-agensi lain telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) dan ada di antara kawasan yang terpaksa dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi menyekat penularan yang lebih teruk.
Pihak KKM telah saban hari mengingatkan kita tentang peri pentingnya amalan 3W
(wash, wear and warn) dan mengelakkan 3C (crowded, confined spaces and close conversation) sejak hari pertama kes COVID-19 disahkan berada di dalam negara kita.
Peningkatan kes terkini dengan penularan VOC ini membuktikan bahawa bukan sahaja
tindakan daripada pihak kerajaan yang perlu dilaksanakan malahan kita sendiri perlu
melaksanakan Perintah Pergerakan Kawalan Kendiri atau lebih dikenali sebagai self-MCO
atau self-lockdown. Usaha ini perlulah diteruskan secara serius dan berterusan untuk 30 hari dan sekiranya ianya dilaksanakan dengan baik, insya Allah ia akan dapat membantu
mengurangkan penularan wabak COVID-19 terutamanya daripada VOC.
Antara ciri-ciri self-lockdown yang perlu diamalkan oleh setiap daripada kita adalah:
1. Pergi ke pasar/pasaraya untuk membeli belah barangan keperluan seminggu sekali
bagi mengurangkan kekerapan pergi ke tempat yang sesak dan ramai orang.
2. Mengoptimakan pembelian secara dalam talian bagi mengurangkan kekerapan keluar
daripada rumah dan sekaligus mengurangkan risiko bertemu dengan orang ramai yang
tidak diketahui status kesihatan mereka.
3. Mencari barangan keperluan di kedai yang paling hampir dengan tempat kediaman
supaya tidak turut membantu penularan secara meluas.
4. Melakukan solat secara berjemaah di rumah sendiri bersama keluarga supaya dapat
mengurangkan risiko penularan wabak di rumah-rumah ibadah.
5. Mengisi minyak kereta dengan penuh bagi mengelakkan kekerapan pergi ke stesen
pam minyak sekaligus mengurangkan risiko sentuhan dengan permukaan yang kerap
disentuh.
6. Mengamalkan polisi ‘zero tetamu’ bagi mengelakkan ahli keluarga daripada terdedah
kepada jangkitan.
Walau bagaimanapun, langkah ini memerlukan kekuatan kendiri dan sokongan daripada
semua pihak untuk berjaya. Dengan kerjasama daripada semua pihak, pastinya kadar
penularan dapat dikurangkan, bilangan pesakit yang dijangkiti dapat dikurangkan, keperluan Unit Rawatan Rapi (ICU) yang begitu mendesak pada masa ini juga dapat dikurangkan sekaligus meringankan bebanan para petugas barisan hadapan yang masih belum berhenti berjuang sejak berhadapan dengan peperangan melawan makhluk halus ini tahun lepas.
Namun, apa yang paling penting adalah kita semua ingin mengelakkan diri kita sendiri serta ahli keluarga yang kita sayangi daripada terkena jangkitan COVID-19 ini dan mengekalkan tahap kesihatan yang optimum.
Covid-19 bukan sahaja menyerang pekerja kilang, murid sekolah, warga emas sebaliknya ia merupakan pemangsa yang tidak mengenal usia, tahap kesihatan, tahap pendidikan, kewarganegaraan mahupun jantina.
Marilah kita kembali mengamalkan saranan KKM seperti yang telah diterangkan di atas, dan teruskan berdoa dengan doa-doa yang ma’thur seperti doa yang dibaca setiap pagi dan petang yang bermaksud. “Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan berbahaya. Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Seperti yang telah dinukilkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi.
Selain daripada itu umat Islam juga boleh berdoa dengan doa yang diamalkan oleh
Nabi junjungan Muhammad SAW yang bermaksud, “Ya Allah, aku berlindung denganMu
daripada penyakit sopak, penyakit gila, penyakit kusta dan daripada segala penyakit
berbahaya yang lain.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Nabi Muhammad SAW turut mengajar kita supaya mereka yang sakit tidak menziarahi
mereka yang sihat, serta memerintahkan mereka yang berada di tempat wabak untuk tidak keluar dari kawasannya serta mereka yang sihat pula diperintahkan agar tidak memasuki tempat yang terkena wabak.
Oleh itu, amat penting bagi setiap seorang daripada kita untuk mengamalkan cara hidup yang terbaik dan menjaga SOP dengan cermat dan berdisiplin bagi mengekang penularan COVID-19 ini.
Kita masih belum selamat selagi semua belum selamat!
Kita Pernah Hampir Menang
Kita mesti menang!
Ayuh kita sama sama melawan wabak ini bersama sama!
Oleh: Dr Jannatul Madihah binti Abu Bakar
Timbalan Pengerusi WARAK Writers Pool
Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM)