KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didesak supaya melaksanakan moratorium automatik hingga hujung tahun 2021.
Ini kerana masih ramai yang belum dapat pekerjaan baharu setelah menganggur kerana Covid-19.
Malah mereka yang berniaga masih belum dapat berniaga sepenuhnya, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zakarshi.
Menurut beliau, ada yang baru menghidupkan semula perniagaan tetapi mengalami kerugian kerana pelaksanaan PKP 3.0 pada saat terakhir.
Justeru amat wajar moratorium automatik diberi hingga ke hujung tahun apatah lagi bank-bank masih mencatatkan keuntungan besar pada waktu PKP ini.
Katanya, walaupun Gabenor Bank Negara (BNM) tidak setuju moratorium automatik dilaksanakan tetapi hujah Datuk Nor Shamsiah Yunus bahawa sektor ekonomi masih beroperasi walaupun PKP 3.0 dilaksana di seluruh negara tidak kukuh.
Lagipun kerajaan boleh sahaja putuskan golongan mana yang layak ditawarkan moratorium automatik atau syarikat besar dan jutawan bolehlah dikecualikan.
Jika tidak ada moratorium automatik, rakyat yang terjejas teruk akan berhadapan kerenah birokrasi bila berurusan sendiri dengan pihak bank, ujarnya.
Malangnya, kata beliau, sejak Parlimen digantung rakyat yang terjejas ketiadaan saluran supaya nasib mereka terbela.
Tambah beliau, rakyat kini hanya ada media sosial.
Kalau bakar suar dan naikkan kain rentang “kerajaan gagal” mereka mungkin ditangkap, ujarnya. – MalaysiaGazette