KUALA LUMPUR – Kelab terkaya Singapura, Lion City Sailors mengumumkan pengendali dari Korea Selatan, Kim Do-hoon sebagai ketua kurulatih baharu dalam usaha serius untuk melangkah lebih jauh dalam saingan AFC Cup tahun ini.
Kim bukanlah nama asing bagi peminat bola sepak asia kerana dia merupakan individu yang berjaya membawa Ulsan Hyundai menjuarai AFC Champions League (ACL) pada tahun lalu.
Jurulatih yang berusia 50 tahun itu telah menandatangani kontrak selama dua tahun setengah dengan Lion City Sailors dan dia akan memulakan tugasnya pada bulan depan bagi menggantikan tempat jurulatih dari Australia, Aurelio Vidmar yang letak jawatan.
“Saya gembira dapat menyertai Lion City Sailor untuk menjadi sebahagian daripada projek bercita-cita tinggi ini.
“Kelab ini mempunyai aspirasi untuk menjadi salah satu kelab terbaik di rantau ini, dan saya yakin dapat memberikan kejayaan itu kepada kelab
“Kelab ini mempunyai ramai pemain yang berbakat, dan pasukan ini telah bermain corak serangan yang menarik sejak setahun yang lalu dan berhasrat untuk memperbaikinya seterusnya membawa pasukan ini ke tahap seterusnya,” kata Kim.
Kim meninggalkan Ulsan Hyundai pada Disember lalu selepas empat tahun membimbing kelab itu.
Selain ACL, Kim turut membawa kelab tersebut menjuara Piala FA pada tahun 2017 dan konsisten menghuni kedudukan teratas dalam carta Liga Korea.
Dia juga cukup dikenali dengan taktikal ‘ball possesion’ yang memberi fokus untuk melakukan serangan dengan cepat.
Kehadiran jurulatih itu dijangka akan memberi saingan sengit kepada wakil negara, Kedah Darul Aman (KDA) dalam AFC Cup tahun ini kerana kedua-dua pasukan diundi dalam kumpulan yang sama. – MalaysiaGazette