Home Nasional Najib akui diperdaya Peter Anthony

Najib akui diperdaya Peter Anthony

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah sebagai saksi kes pemalsuan dokumen bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu mahkamah bahawa beliau dengan niat baik percaya terhadap ketulenan dokumen yang diserahkan oleh Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony kepada pada 2014.

Peter didakwa memalsukan dokumen kontrak kerja operasi dan penyelenggaraan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau bukannya cuai sehingga membiarkan Peter memperdayakannya, sebaliknya telah menjadi kebiasaan menerima berpuluh-puluh dokumen permohonan setiap hari.

Najib berkata, beliau telah diperdayakan Peter yang merupakan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah ketika itu kerana kandungan surat yang diserahkan kepadanya adalah bertentangan dengan hasrat sebenar universiti itu.

“Saya telah menerima Surat Pejabat Timbalan Naib Canselor bertarikh 9 Jun 2014 bertajuk ‘Kerja-kerja Operasi dan Penyelenggaran Sistem Mekanikal dan Elektrikal di Bangunan Fasa 2B, Bangunan dan Infra di Kampus Induk (FPL/ Pusat Rawatan Warga Luar Sikuati, Kudat) dan Bangunan Lain UMS, selama lima tahun.

“Dan ianya telah ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof Dr Shariff Abdul Kadir S Omang Al-Haj.

“Pihak universiti juga menyokong penuh kerjasama antara ULink Property Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh UMS) dan Asli Jati Engineering Sdn Bhd (milik Anthony) bagi melaksanakan kerja kontrak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca keterangan sebagai saksi ke-12 pendakwaan kes pemalsuan dokumen kontrak penyelengaraan oleh Peter Anthony di hadapan Hakim Azura Alwi hari ini.

Peter didakwa menipu dengan memalsukan dokumen surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu.

Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony hadir ke mahkamah bagi kes pemalsuan dokumen di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 MEI 2021.

Beliau didakwa dengan sengaja berniat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun hingga 21 Ogos 2014.

Peter juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa sama.

Jelas Najib ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahruddin Wan Ladin, seandainya beliau tahu surat itu telah dihasilkan tanpa pengetahuan serta sokongan Ahli Lembaga Pengarah UMS, beliau tidak akan pertimbangkan kontrak tersebut.

“Saya tidak tahu semua ini dibuat tanpa pengetahuan dan persetujuan Ahli Lembagai Pengarah, saya juga percaya surat itu mendapat mandat daripada pengurusan UMS kerana ada minit sokongan catatan tulis tangan daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Surat itu saya berikan kepada bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kewangan, Allahyarham Datuk Azlin Alias untuk tindakan selanjutnya,” terangnya.

Tambah Najib, Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tun Zaki Azmi kemudian memaklumkan kepadanya di Parlimen bahawa UMS sudah melantik syarikat REMT Utama Sdn Bhd untuk kerja penyelengaraan.

“Malah Zaki juga juga memberitahu pihaknya tidak pernah keluarkan surat sokongan  untuk Syarikat Jati. Penipuan seperti ini merosakkan reputasi saya dan juga membabitkan wang kerajaan sekiranya syarikat itu memfailkan saman dan kita terpaksa bayar ganti rugi,” katanya.

Mahkamah Sesyen sebelum ini pernah diberitahu bahawa Peter menghantar tiga surat sokongan berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem kepada Najib pada 2014 selepas sebulan tender secara terbuka ditutup.

Najib ketika itu juga adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Najib selesai memberi keterangan dalam tempoh kurang daripada satu jam, perbicaraan bersambung 26 Julai ini.

Terdahulu, Peter memohon untuk pulang ke Sabah kerana perlu melakukan ujian calitan dan memohon prosiding bersambung tanpa kehadirannya namun permohonan itu ditolak Azura. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Amalan surat sokongan salah satu bentuk cara rasuah dan juga kronimisme. Harap perkara ini diberhenti terus.

Comments are closed.