Home Nasional Rakyat Malaysia kena bersatu hati jika mahu boikot produk Israel

Rakyat Malaysia kena bersatu hati jika mahu boikot produk Israel

Seorang kanak-kanak Palestin membawa bendera Palestin dan bendera Jalur Gemilang semasa menyertai Perhimpunan Rakyat Tolak Israel Masuk Malaysia di Dataran Masjid Putrajaya, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 01 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Rata-rata rakyat di negara ini meluahkan rasa kekesalan terhadap serangan  rejim zionis ke atas penduduk Palestin sejak minggu lalu.

Tindakan biadap tentera Israel membedil bumi Gaza itu bukan sahaja meragut nyawa orang dewasa malah turut mengorbankan kanak-kanak.

Seorang pesara kerajaan, Amran Hassan, 63, berkata,  tiada kata-kata yang mampu diluahkan melihat kekejaman tentera Israel ke atas penduduk Palestin.

Amran Hassan. Foto HAFIZ SOHAIMI, 19 MEI 2021.

“Setiap hari memang saya ikuti perkembangan yang berlaku di sana menerusi televisyen dan juga laman media sosial, memang geramlah melihat apa yang menimpa rakyat Palestin tapi kita di sini kalau boleh hulurkanlah bantuan melalui saluran yang betul.

“Saya memang setuju sangatlah kita rakyat Malaysia ini sama-sama sepakat memboikot sebarang produk atau makanan dan minuman dari negara Israel.

“Kita boikot semua itu dan kita jangan sengaja hendak menyokong sembarangan.

“Sama-sama juga kita bantu dan hulurkan bantuan untuk rakyat Palestin yang teraniaya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, seorang penghantar makanan, Muhammad Hafiz Jalil Hassan, 27, menyeru agar rakyat Malaysia terus berdoa dan bermunajat supaya rakyat Palestin terus dilindungi.

Muhammad Hafiz Jalil Hassan.. Foto HAFIZ SOHAIMI, 19 MEI 2021.

Tambahnya, terlalu banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban dalam pertempuran antara dua buah negara itu.

“Ini bukan isu agama semata-mata tetapi ia adalah isu kemanusiaan. Jadi kita sebagai rakyat beragama Islam teruskanlah berdoa supaya anak-anak muda di sana dan rakyat di sana bebas,” ujarnya.

Seorang lagi penghantar makanan, Zaki Sien, 38, turut meluahkan rasa sedih dan simpati terhadap nasib penduduk Palestin yang terpaksa hidup dalam kerisauan dan ketakutan.

Zaki Sien . Foto HAFIZ SOHAIMI, 19 MEI 2021.

“Kita rasa sedih dengan pengeboman di sana. Saya sendiri pun banyak berdoa untuk rakyat di Palestin semoga mereka selamat selain mengikuti perkembangan di sana menerusi Youtube dan laman sosial tentang isu ini.

“Langkah memboikot barangan dari negara Israel juga merupakan perkara yang bagus kerana sekurang-kurangnya dapat menyuarakan isi hati kita apabila produk mereka kurang kita beli maka mereka akan nampak kesannya,” katanya.

Nurul Syafiqa Azami . Foto HAFIZ SOHAIMI, 19 MEI 2021.

Manakala tukang jahit, Nurul Syafiqa Azami, 31, juga bersetuju dengan tindaka untuk memboikot sebarang produk keluaran Israel.

Kata Nurul Syafiqa, produk buatan Malaysia juga tidak kurang hebatnya dan setanding dengan jenama antarabangsa.

“Boikot barangan Israel memang boleh cuma kadangkala ada yang terlepas pandang. Mungkin juga ada sudah yang terbiasa dengan jenama itu jadi kita tidak terfikir sangat mengenai perkara itu.

“Kalau boleh kita sebarkan lebih kesedaran dengan senaraikan barangan keluaran dari sana jadi orang awam lebih tahu. Apa yang boleh dibuat adalah kedepankan barangan buatan Malaysia, barangan yang ada kaitan dengan negara Israel kita asingkan atau letak di bahagian belakang, biar barang buatan Malaysia sahaja yang rakyat nampak,” ujarnya. – MalaysiaGazette