KUALA LUMPUR – Sumber pendapatan pekerja tempatan serta ribuan peruncit, pengedar, pembekal dan lain-lain di seluruh rantaian bekalan Coca-Cola di Malaysia yang bergantung kepada operasi perniagaannya akan terjejas jika ada usaha memboikot produk ini.
Walaupun Coca-Cola jenama global, semua operasi pembotolan menggunakan sumber tempatan.
“Yang mana minuman ini diproses dan dibotolkan di Malaysia, untuk rakyat Malaysia, oleh rakyat Malaysia,” kata Coca-Cola Malaysia.
Syarikat itu berkata, Coca-Cola beroperasi di lebih dari 200 buah negara dan wilayah di seluruh dunia dengan sistem politik, agama dan sejarah yang berbeza.
”Coca-Cola beroperasi di 14 pasaran di Timur Tengah dan enam lagi di kawasan Afrika Utara.
”Coca-Cola dan syarikat pembotolan NBC tempatan juga mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pasaran Palestin yang bermula sejak dari 1998.
“Kini Coca-Cola merupakan antara pengusaha terbesar di rantau tersebut. ,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan Coca-Cola menerima maklumat bahawa beberapa individu telah memboikot produk tersebut berikutan maklumat serta khabar angin yang tular di media sosial dan salah fahaman tentang komitmen kami di Timur Tengah.
Jelasnya, Coca-Cola Malaysia juga prihatin terhadap pergolakkan yang berlaku di antara Israel dan Gaza, juga kesannya terhadap penduduk di rantau Timur Tengah.
Sama seperti yang lain, Coca-Cola juga mengharapkan keamanan ditegakkan di Timur Tengah dan seluruh dunia.
Di Malaysia, Coca-Cola telah beroperasi lebih daripada 85 tahun dan adalah keutamaan syarikat untuk terus komited dalam membantu rakyat Malaysia dari segi bantuan sosial dan lain-lain.
”Matlamat kami adalah untuk memberi kesegaran kepada semua lapisan masyarakat melalui produk minuman yang dikeluarkan. Kami tidak menyokong atau menentang mana-mana tujuan berkaitan agama, mahupun memihak kepada mana-mana negara lebih daripada yang lain di peringkat antarabangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette